Wednesday, June 23, 2010

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ


Firman Allah di dalam Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 34, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain, Surah At-Tahrim ayat 6 pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka."

Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga. Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji. Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya. Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.

Maka para suami dan bakal suami sekalian, ana berharap agar anda semua dapat ambil pengajaran dalam firman Allah yang bermaksud
"Lelaki menjadi penjaga bagi kaum wanita" dan "Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka...". ana tidak sanggup melihat wanita atau isteri menjadi sebegini. Ana terkilan apabila melihat keadaan tersebut berlaku di sekeliling ana. siapakah wanita itu? biarlah ana simpan.

Tercipta wanita dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi

terang lagi bersuluh, kaum lelaki memainkan peranan sebagai ketua keluarga dalam memimpin ahli-ahli dalam keluarganya sendiri, kerana andalah ketua nakhoda dalam pelayaran menuju destinasi syurga abadi...ingatlah,
pimpinlah isteri dan bakal isteri anda. kerana kejayaan institusi rumahtangga itu adalah hasil tarbiyyah yang berkesan daripada suami yang BERTANGGUNGJAWAB!

Wallahua'alam.

No comments:

Post a Comment

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....