Saturday, February 19, 2011

detik pertunanganku...


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu.

Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada.

Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang hamba-Nya yang lemah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini.

Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sehebat Saiful Islam yang tidak pernah gentar melangkah memartabatkan perjuangan Islam.

Aku hanya seorang yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah berkhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah.


”Malam Pertama...” Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"akak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila anti menikah?" Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti anti akan tahu..."

Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.


"Jemput ana tau!"

Wajah sahabahku itu mengukir senyum megah.

"Kalau anti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! "Itu saja pesanku.

Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..." Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Za, jom makan!"

Aku tersenyum lagi...

Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."

Sahabah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Za diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.



............ ......... ......... ......... ........... .......... ........... ...........



"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya...."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ayah dan ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku. Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku...

Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi.

Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, sahabahku bertanya kepada ayah beberapa minggu kemudian...

"Fiza bertunang dengan siapa, pak cik?"

Ayah tenang menjawab...

"Dengan kematian wahai anakku…."

"Allahuakbar. .."

Terduduk susuk tubuh itu mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ayah angguk, tersenyum lembut...

"Ini nak, bukunya."

Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Za selalu menangis... Saya tak tahu pak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Za mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Sahabatku masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Za yang diberikan oleh ayah.


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ayah akan tenang menghadapinya, kerana baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta.”



* Kisah ini bukan kisah ana , ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *


Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN.

Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Thursday, February 3, 2011

Kedutaan Malaysia lancar Pelan Tindakan Evakuasi Pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR 3 Feb — Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah melancarkan Pelan Tindakan Evakuasi untuk membawa keluar warga Malaysia, khususnya pelajar dari negara bergolak itu.


Berdasarkan kenyataan yang disiarkan di blog Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, operasi pelan bermula dari semalam, di mana rakyat Malaysia akan dibawa keluar melalui penerbangan ataupun pelayaran.


Berdasarkan modus operandi pelan berkenaan, mereka yang masih berada di negara itu akan dikumpulkan di beberapa tempat sebelum penerbangan keluar dibuat dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


Kesemua individu yang diselamatkan melalui penerbangan ehsan akan dikumpulkan di Jeddah.


Individu dari Kaherah akan berkumpul di Kompleks Haiyyu Ashir dan DMAK; dari Iskandariah akan berkumpul di Rumah MARA manakala mereka dari Mansourah pula akan diterbangkan ke Iskandariah sebelum dibawa ke Jeddah dan berkumpul di Hotel New Mansourah. — Bernama

Wednesday, February 2, 2011

Mesir: Pelajar Malaysia berkomunikasi guna facebook, blog

02/02/2011 8:54pm

KUALA LUMPUR 2 Feb. — Pelajar Malaysia yang terperangkap di Mesir menggunakan aplikasi internet seperti Facebook dan blog untuk menghebahkan tentang keadaan mereka dan berhubung antara satu sama lain.


Salah satu laman Facebook yang telah dicipta oleh pelajar ialah “Selamatkan Pelajar Dan Rakyat Malaysia Di Mesir” dan blog yang boleh dilayari di http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com.


Laman sosial Facebook dan blog tersebut diilhamkan sendiri pelajar di samping mereka menubuhkan Skuad Jawatankuasa Perhubungan Sementara Pelajar Mesir dan Malaysia.


Status terbaru di laman Facebook itu meminta pelajar yang telah selamat sampai di Malaysia atau berlindung di mana-mana negara jiran agar melaporkan keadaan mereka.


Facebook itu juga melaporkan terdapat lebih kurang 20 orang pelajar Malaysia telah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 2 petang tadi melalui penerbangan Gulf Air.


Laman itu juga memaklumkan bahawa dua orang pelajar Malaysia berjaya menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Alex menggunakan Kuwait Airways hari ini.


Sehingga jam 7 malam tadi, laman tersebut setakat ini telah mengumpul 46,540 pengikut yang ada antara mereka mempunyai saudara, rakan atau ahli keluarga di Mesir. — Bernama

Kenyataan Akhbar daripada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia: Situasi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir


KENYATAAN AKHBAR YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA MENGENAI KEADAAN DAN SITUASI TERKINI PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR 2HB FEBRUARI 2011 (RABU)

__________________________________________________________

1. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengambil maklum, prihatin serta bersimpati dengan keadaan sukar dan situasi getir yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia yang kini berada di Republik Arab Mesir, selepas hari kesembilan berlakunya demonstrasi dan rusuhan oleh rakyat Mesir di sana.


2. Untuk makluman semua, mengikut rekod pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, di Mesir kini terdapat seramai 11,319 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di republik tersebut. Jumlah ini termasuklah seramai 5,184 orang pelajar perubatan dan 6,135 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam.


3. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui pejabat Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) Kaherah sebelum ini telah melakukan hebahan nasihat keselamatan kepada semua pelajar agar mereka dapat menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti rusuhan dan demonstrasi oleh rakyat Mesir. Di samping itu juga, nasihat serta siaran hebahan telah diberikan kepada semua pelajar agar mereka sentiasa dan dapat mematuhi arahan keselamatan termasuklah arahan perintah berkurung (curfew) pada masa-masa yang ditetapkan. Selain daripada itu, semua pelajar Malaysia juga dinasihatkan agar dapat membuat persediaan penyimpanan makanan yang secukupnya bagi menghadapi saat-saat sukar di sana.


4. Sejak keadaan rusuhan kian meruncing serta tahap keselamatan pelajar Malaysia menjadi semakin membimbangkan, pihak JPM Kaherah telah memulakan usaha menempatkan para pelajar Malaysia dalam kumpulan yang lebih besar di beberapa tempat utama termasuklah di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah serta beberapa rumah negeri yang terdapat di sana. Langkah ini bertujuan untuk memastikan keselamatan para pelajar agar lebih terjamin, selain bagi memastikan perhubungan komunikasi antara mereka tidak terputus. Di samping itu juga, ketika berada di luar arahan perintah berkurung (curfew), pegawai-pegawai JPM Kaherah akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah pelajar Malaysia di sana bagi meninjau keadaan serta situasi pelajar Malaysia yang lain. Pegawai-pegawai JPM Kaherah seterusnya akan menyediakan laporan keadaan terkini kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Putrajaya. Buat masa ini, seramai lebih 7,000 orang pelajar telah dapat dihubungi dan diketahui keadaan mereka. Alhamdullilah, kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa mengalami apa-apa kecederaan dan tidak ada sebarang kematian yang melibatkan mereka. Langkah ini akan terus dilakukan sehinggalah kesemua nasib dan keadaan pelajar Malaysia di sana dapat diketahui.


5. Sementara itu, bagi memudahkan ibu bapa dan keluarga para pelajar untuk mendapatkan status serta kedudukan terkini mengenai anak-anak serta ahli keluarga mereka di Mesir, mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia seperti di bawah:-


1) Yang Berbahagia Prof Dr Rujhan Mustafa

Pemangu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia

No. Telefon : +60192708222

E-mel : mrujhan@mohe.gov.my



2) Yang Berusaha Dr Syed Alwee Shekh Alsagoff

Pengarah Bahagian Pemasaran Pendidikan

Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia

No telefon : +60197520672

E-mel : alwee@mohe.gov.my



3) Encik Jamalulail Bin Abu Bakar

Ketua Penolong Pengarah Kanan

Unit Jabatan Penuntut Malaysia

Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia

No telefon : +60129316172

E-mel : jamalulail@mohe.gov.my


6. Seperti mana yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah umumkan semalam (1 Februari 2011), Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk melakukan operasi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Republik Arab Mesir melalui udara dan juga laut. Pelajar dan rakyat Malaysia akan di bawa ke Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan perlindungan serta tempat yang lebih selamat di Arab Saudi. Sehubungan dengan itu, kerjasama dan jasa baik daripada semua pihak amatlah diharapkan bagi memastikan urusan pemindahan berjalan dengan lancar dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.


7. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada ketika ini telah dimaklumkan mengenai pengumuman cuti oleh beberapa buah universiti utama di sana. Cairo University menetapkan cuti selama 3 bulan; Universiti Al-Azhar selama 1 tahun; manakala Ain Shams University menetapkan cuti selama 6 bulan.


8. Pada ketika ini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sentiasa berhubung dan mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan-tindakan selanjutnya diambil. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi juga sentiasa berhubung dengan pihak Kementerian Luar, Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan beberapa agensi keselamatan lain bagi mendapatkan maklumat lengkap dan situasi terkini mengenai keadaan pelajar Malaysia di Mesir.


Disediakan oleh:-

Pejabat YB Menteri Pengajian Tinggi

Putrajaya

2 Februari 2011

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....