Showing posts with label Renungan Srikandi. Show all posts
Showing posts with label Renungan Srikandi. Show all posts

Sunday, September 18, 2011

Bersabarlah Duhai Ukhti


"Syikin, mak dah tak tahan. Sampai bila kau nak jadi macam ni. Tebal muka mak tolak setiap orang yang datang."

"Belum jodoh mak. Nak buat macam mana."

"Belum jodoh apanya. Kau yang tolak mereka semua."

Wajah mulusnya tertunduk sepi. Sedaya upaya wajahnya diusahakan supaya tenang. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu. Malam itu dia menangis sendirian. Tak sanggup rasanya hendak menahan desakan keluarga agar menerima sahaja pinangan mereka yang datang. Namun dia ada pertimbangannya sendiri. Bukan dirinya tidak mahu menikah. Tetapi seperti yang sentiasa disampaikan olehnya, belum jodoh.

Syikin cantik, sopan, akhlaknya baik. Gadis desa berpendikan tinggi yang menjadi tambatan hati jejaka-jejaka yang mengenalinya. Cuma masalahnya..

"Kalau cantik tapi tak kahwin-kahwin juga, andartulah kau nanti!"

Malam itu sudah kesekian kalinya dia menangis. Terasa sungguh beratnya hendak menghadapi desakan keluarganya. Mahu sahaja dia mengalah. Pernah sahaja dirasakannya bahawa Allah tidak lagi mahu membantunya, namun dibuang jauh-jauh perasaannya itu. Teringat dia akan perbualannya dengan teman karibnya, Fasihah.

"Fasihah, ana dah tak tahan lagi. Semalam ada lagi orang masuk meminang. Keluarga ana asyik-asyik suruh ana segera menikah. Tak tahu sampai bila ana harus bertahan."

"Syikin ukhtiku, bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,kan?"

"Memanglah, tapi sampai bila? Mana ikhwah-ikhwah kita? Kenapa bukan mereka yang masuk meminang?"

"Syikin, sabar. Masanya masih belum tiba Syikin. Ana yakin ikhwah-ikhwah kita juga sedang berusaha sedaya-upaya mereka. Realiti masyarakat di Malaysia ini, menikah awal itu suatu yang agak 'luar biasa' bagi mereka. Ana yakin, itulah yang menghambat kebanyakan daripada ikhwah-ikhwah kita. Bukannya mereka tidak berusaha."

"Kenapa kita kena susah-susah tunggu ikhwah-ikhwah kita juga? Ramai juga calon lain yang soleh, kenapa mesti mereka?"

"Ukhti, apa tujuan hidup kita?"

"Tentulah mengabdi kepada Allah."

"Dan enti tahu, untuk beristiqomah di atas jalan pengabdian kepada Allah itu, tidak mudah. Banyak ranjau dan durinya. Sebab itu kita perlu bersedia dengan persiapan yang terbaik. Dan kita bukan pengabdi semata-mata, kita da'i. Pengislah ummat. Mengabdi kepada Allah dan mendakwahi ummat ke jalan Allah. Kerana kita ummat Nabi Muhammad.

Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
[Q.S. Yusuf, 12:108]

"Untuk kekal berada dalam jalan ini sekarang, ketika kita bersendirian, yang perlu kita hadapi adalah diri kita sendiri. Namun selepas pernikahan, keputusan kita tidak lagi bersendirian. Suami kita nanti sangat akan mendominasi keputusan- keputusan kita. Jika suami kita nanti bukan seorang yang faham akan dasar-dasar perjuangan kita, sudah pasti usaha untuk kita terus bertahan akan menjadi semakin sukar."

Dia terdiam. Syikin atau nama sebenarnya Nurul Asyikin Abdullah, bukannya tidak tahu akan hakikat itu. Cuma fikirannya terganggu menyebabkan diluahkan segala permasalahannya itu kepada akhwat yang sangat dekat kepadanya. Fasihah juga sangat memahami. Tidak perlu diterangkan, ukhuwah yang terbina telah menjelaskan sedari mula. Tekanan perasaan dan masalah dalaman manusia mampu dikurangkan malah diselesaikan dengan berkongsi mengenainya.

Malam itu dia kembali menghubungi akhwatnya itu.

"Assalamu'alaikum. Fasihah Fathiyyah binti Kamaruddin ada?"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah. Tak pernah-pernah ada orang telefon ana sebut nama penuh."

"Heh, saja, nak mengusik akhwat tercinta."

"Yelah tu. Dari suara enti ana dah dapat rasa ada sesuatu yang enti fikirkan. Ada apa Nurul Asyikin binti Abdullah? Ayyu musykilah ya ukhti el kareemah?"

Lalu dikongsikannya hal yang baru dihadapinya. Dan seperti biasa juga, Fasihah akan setia mendengar dan menghibur serta menenangkannya.

"Entahlah. Ana tak tahu kenapa banyak sangat ujian yang datang. Mungkin Allah nak latih ana untuk lebih bersabar agaknya. Menunggu si dia yang entah bila akan kunjung tiba. Kena banyak berdoa lagi ni."

"Betul tu. Berdoalah dengan lebih bersungguh-sungguh ukhti. Dan ikhlaskan niat. Ramai orang cari Allah ketika hadapi masalah. Mereka berdoa semata-mata untuk memenuhi keperluan dunia mereka. Bila apa yang mereka mahu dah dicapai, mereka lupakan Allah. Dan Allah katakan mereka melampaui batas.

Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.
[Q.S. Yunus, 10:12]

"Ikhlaskan niat. Mungkin selama ini doa kita hanya untuk disegerakan menikah, bukan kerana untuk mencari redha Allah. Kalau memang kita bersungguh-sungguh untuk mencari redha-Nya, pasti jalannya akan terbuka.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]

"Jangan resah jika belum berpasangan, tetapi resahlah jika belum mendapat cinta daripada Tuhan. Ana pegang sungguh kata-kata tu. Ana pun kalau boleh nak segera menikah, tapi mungkin ada hikmahnya Allah masih menangguhkannya. Mungkin ana masih belum bersungguh-sungguh dalam mencari cinta-Nya. Mungkin jika Allah izinkan ana menikah sekarang, hala tuju cinta ana akan tersasar kepada makhluk-Nya."

Asyikin berfikir dalam. Cinta Allah. Sudah benarkah hala tuju cintanya? Sudah digapaikah cinta Allah itu? Ikhlaskan amalnya selama ini mencari redha-Nya semata?

"Terima kasih ukhti. Insya-Allah ana akan terus pegang kata-kata itu."

Perbualan ditamatkan. Namun fikirannya terus berputar. Masih bergema-gema di telinganya mendengarkan kata-kata akhwatnya itu.

'Jangan resah jika belum berpasangan, namun resahlah jika belum mendapat cinta dari Tuhan.'

Kisah lalu hidupnya kembali memenuhi ruangan fikirannya. Teringat akan saat-saat mula ditarbiyah. Bagaimana dia mula mengenali Fasihah. Bagaimana seluruh hidupnya berubah kembali mengenali Allah. Mula membaca Al-Quran, mula menjaga solat, mula menjaga pergaulan, mula berpakaian labuh dan sopan, sehingga kembali menjadi dirinya kini.

Dirasakannya Allah begitu baik kepada dirinya. Allah telah menyelamatkannya daripada jurang kejahiliyahan kepada cahaya hidayah-Nya. Memberikan dirinya peluang untuk kembali menjadi hamba-Nya yang dekat kepada-Nya. Tidak semena-mena matanya berkaca. Lalu manik-manik jernih menuruni pipi.

'Ya-Allah. Ampunkan aku. Selama ini aku khilaf. Maafkan aku jika selama ini aku tidak ikhlas mencari cinta-Mu. Maafkan aku jika selama ini aku kurang mengingatimu. Maafkan aku jika selama ini aku hanya berdoa kepada-Mu untuk memenuhi keperluan peribadiku. Ya-Allah, bantulah aku untuk kembali mencari cinta-Mu. Bantulah aku untuk kembali memperbaiki diri semata-mata untuk-Mu.' Hatinya bermunajat lirih.

Malam itu tidak dibiarnya berlalu begitu sahaja. Solat malam didirikan. Al-Quran ditadabburinya. Hatinya terubat dengan ayat-ayat yang menceritakan perihal syurga dan keindahannya. Tafsir Surah Ar-Rahman sangat menghibur hatinya.

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. [70]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [71]


(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah. [72]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [73]


Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. [74]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [75]


Mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. [76]


Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [77]


Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Karunia. [78]

[Q.S. Ar-Rahmaan, 55:70-78]

'Alangkah indahnya syurga. Layakkah aku untuk menghuninya?'

Lalu tekad disemat.

"Ya-Allah, hidupkalah aku dalam redha-Mu semata-mata. Jika memang jodohku bukan di dunia ini Ya-Allah, maka kurniakanlah aku jodoh di akhirat kelak. Jodoh abadi yang disediakan untuk para pencinta-Mu. Jadikan aku seperti Rabiah Al-Adawiyah yang tulus mencari redha-Mu dan cinta-Mu."

Air mata terus menjadi saksi. Keheningan malam terus dipecahi bunyi tangis dan rintih seorang Nurul Asyikin yang sudah kembali mencari cinta sejatinya. Dan Allah pasti punya rencana-Nya. Percaturan Allah siapa yang tahu?

Keesokkan paginya Sony Ericsson K800i kesayangannya berbunyi. SMS masuk. Daripada Ukhti Syuhada, murobbiyahnya. Murobbi atau murobbiyah adalah mereka yang bertanggungjawab menguruskan urusan tarbiyah seseorang ikhwah dan akhwat tarbiyah. Mereka yang mengatur perjalanan tarbiyah dan porgram-program yang perlu dilalui untuk menambahkan kefahaman dan memastikan keberlangsungan tarbiyah yang dijalani oleh seseorang ikhwah dan akhwat itu.

Lalu SMS dibaca.
Salam. Ukhti, alhamdulillah malam semalam ada ikhwah hantar resume. Kalau enti dah bersedia, nanti ana dan zauj ana akan susunkan majlis ta'aruf untuk enti dan ikhwah tu.
Terasa bagaikan hawa sejuk mengalir menyelubungi jiwa dan perasaannya. Kasih sayang Allah sungguh terasa membelai ubun-ubun. Segera sujud syukur dilakukan. Air mata syukur dan bahagia mengiringi pagi yang indah itu. Nurul Asyikin semakin yakin bahawa cinta Allah tidak pernah mengecewakan.

Bagaimana anda?

Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasih kan datang
Sesuai dengan iman di hati

Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menunggu
Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menanti.

Cintailah Ilahi
Cinta Sejati

Saturday, July 2, 2011

soal JODOH?


Jodoh..satu agenda yang besar dalam kitaran hidup manusia. Jodoh juga adalah agenda pelengkap untuk kesejahteraan dan tuntutan fitrah manusia normal yang dicipta oleh Allah. Indahnya Islam yang mensyariatkan perkahwinan yakni ikatan dan persetujuan antara dua makhluk, iaitu wanita dan lelaki secara sah di sisi syarak dan undang-undang yang memang secara azalinya saling memerlukan. Tatkala terciptanya Adam arakian juga diciptakan Allah akan Hawa.

Persoalannya apakah cara yang terbaik untuk mendapatkan jodoh? Banyak kita dengar dan belajar dari persekitaran kita dengan mendengar cerita dari ibu bapa,pakcik makcik,adik beradik,sahabat handai tentang kisah pertemuan sebelum menjejakkan kaki ke alam perkahwinan, begitu juga kisah agung dongeng-dongeng dan titipan sejarah cinta yang telah dibukukan malah difilemkan yang menjadi garis panduan malah impian kepada manusia dewasa ini.

Tidak kurang juga dengan kisah-kisah sedih dan pilu yang menjadikan perkahwinan satu institusi yang sangat ditakuti oleh sebilangan lelaki dan wanita Melayu beragama Islam di negara kita ini. Setelah membuat banyak kajian secara peribadi dan juga membaca rujukan carta statistik yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, saya mendapati beberapa cara telah wujud bagi masyarakat Melayu Islam negara ini berjumpa dengan jodoh mereka. Saya juga mendapati penduduk Malaysia hari lebih suka mencari pasangan sendiri yang kononnya akan menjamin kebahagiaan berkekalan kerana sudah saling mengenali antara satu sama lain. Ini memang terbukti kerana asas bagi sesebuah perkahwinan adalah persetujuan antara dua pihak. Jadi ini memudahkan urusan pembinaan mahligai syahdu pasangan dan saya secara peribadinya sangat menghormati dan kagum terhadap pasangan sebegini. Dengan jangka masa pengenalan yang agak matang itulah mendewasakan mereka malah mampu memahami pasangan sebaik mungkin.

Tetapi setiap yang pro pasti ada kontranya, itulah adat dunia yang tidak mampu disangkal oleh cerdik pandai dari tempat dan masa mana sekalipun. Kalau pasangan pilihan hati sendiri begitu enak melayari bahtera rumah tangga begitu juga mudahnya pasangan yang terlalu memahami pasangan masing-masing terjebak dalam permasaalahan rumah tangga, yang akhirnya terbukti dengan hanya perceraian. Tidak saya mahu huraikan disini apakah faktornya kerana bukan tujuan coretan tinta ini.

Lain pula perbedaan yang berlaku apabila pasangan bersatu kerana dijodohkan, tapi cara ini dianggap kolot dan tidak praktikal kerana pemikiran masyarakat sekarang mementingkan kebebasan berfikir dan bersuara. Jadi cara ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini, kerap kali kita dengar banyaknya kesan negatif akibat penjodohan sebegitu. Tapi lain pula jika saya berbual dan bertanya dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik lewat setengah abad yang majoritinya berkahwin setelah dijodohkan tetapi ternyata bahagia sehingga akhir hayat mereka.
Maka saya sedar bahawa selayaknya kita harus berfikir apakah cara yang paling terbaik untuk diri kita mendapat jodoh hayat.


Sedarkah kita bahawa Allah ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 6 bulan di dalam rahim ibu kita sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara yakni persoalan ajal maut,rezeki dan akhir sekali jodoh, maka selayaknya persoalan ini kita sandarkan pada Islam yang sentiasa menjadi pemudah dan pedoman hidup mukmin sejati. Disambung lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang menggariskan 4 perkara utama yang perlu pada pemilihan pasangan hidup iaitu rupanya,hartanya,keturunanya dan agamanya. Maka selayaknya menjadi pilihan utama adalah pasangan yang mencintai agama kerana seseorang mukmin secara langsung akan terserlah sifat soleh dan solehahnya. Dengan itu secara langsung sifat kewanitaanya, kekayaanya, kebijaksanaanya jua akan terserlah sama.


Pada setengah perkara ternyata tidak layak otak kita yang sejengkal ini mahu membuat perkiraan tepat mengenai apatah lagi persoalan qada dan qadar Allah. Kerana semestinya setiap ketetapan Allah adalah yang terbaik, cuma cara penerimaan kita terhadap nikmat dan ujianNya menunjukkan kita menerima semua ketapan itu sebagai baik atau tidak. Pada golongan yang bakal berhadapan dengan situasi ini mahupun yang telah lewat, “jangan takut dan jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama kita” dan lagi Allah berfirman “berdoalah kepaku nescaya akan kumakbulkan.”

Jadi apakah alasan kita hanya mengeluh dan hanya menyalahkan takdir dalam pencarian jodoh. Berdoalah dengan konsisten dan ikhlas, dengan asbab (sebab) pasangan tersebut dijodohkan oleh emak bapa, pertemuan dari kawan-kawan, rakan sekuliah malah mungkin melalui jaringan maya (internet). Walaubagaimana cara sekalipun percaya dan yakinlah, pastinya ketapan Allah adalah yang terbaik. Penulis yakin cara yang paling baik dan berkat ialah berdoa kehadrat Ilahi dengan konsisten dan setulus hati agar dikurniakan pasangan yang akan membahagiakan kita dunia dan akhirat,dengan itu serahkanlah 100% keyakinan pada qada dan qadar Allah Ta’ala. Janganlah terlalu terikut-ikut dengan persekitaran umum sekarang yang banyak terpengaruh dengan cara dan etika bangsa barat yang hanya mementingkan kepuasan dan keselesaan nafsu yang tiada noktah.

Tetapi tidak secara totalnya cara tersebut dijadikan sandaran, macam mana caranya sekalipun, tetapkan hati dan tanamlah dengan bisikan amalmu yang ikhlas kerana Allah, paksalah hatimu untuk belajar menjadi ikhlas hati dan budi. Semestinya kita sebagai orang Islam wajib percaya dengan syurga. Sedarkah kita segala kesempurnaan nikmat hanya boleh dirasai di sana? Berapa ramai para sahabat di zaman Rasulullah hidup penuh dengan keaiban, kehinaan dan penderitaan tetapi sekarang terbayangkah kita di mana mereka? Sebahagian besar daripada mereka sekarang berada di sisi Zat yang agung malah dengan kenikmatan yang tidak akan mati, Allahu rabbul jalil.

Begitu juga dengan hal jodoh yang menjadi topik kita kali ini. Kesempurnaan yang hakiki hanya di syurga, berapa banyak Kalam Allah yang menggambarkan janji nikmat olehNya pada manusia yang soleh dan solehah. Jadilah mukmin yang baik nescaya tiada sesal pada kita akhirnya.



Friday, April 15, 2011

jiwa halus milik-NYA


Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelah hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari dalam sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaannya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tetapi, dia tersungkur lagi.


Air jernih berjuraian menelusuri pipi dan dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf ‘Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaum hawa agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk tempoh-tempoh tertentu.


Walaupun pada hakikatnya, teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, dan memuji keagungan-Nya.


Mutmainnah akui itu semua tapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.


"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki tu kan? Jalan tak pandang perempuan pun.”

“Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu..Nanti orang ingat kamu sewel pula."

“Mutmainnah…ini...”
"Mutmainnah…itu.."


"Aku memohon ampun darimu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat keberapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.


Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.


Ayat 125 dari surah Al-An’aam dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya.


Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran. [Surah Al-An’aam]


Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Terasa dahaga dan lapar! Dengan rakus dia menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.


"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah berfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.


*************************


Dia teringat kembali buku yang pernah dibacanya suatu ketika dulu yang bertajuk; 'Personaliti Wanita Yang Disayangi Allah & Rasul’. Buku itulah yang menjadi hadiah hari lahirnya yang ke-22 oleh kakaknya, Mardhiyah.


Wanita itu banyaknya nafsu 90 peratus manakala akalnya 10 peratus sahaja. Tetapi berbeda bagi sang laki-laki, 90 peratus itu akalnya, tetapi nafsunya 10 peratus sahaja.


Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [Surah An-Nisaa’: 32]


Maka beruntunglah bagi si wanita kerana telah dianugerahkan sang laki-laki sebagai pemimpinnya, kerana sang laki-laki itu banyak akalnya yang mampu mendidik dan menunduk nafsu si wanita tersebut.


"Eh..betul ke wanita ada banyak nafsu. Aku tengok zaman sekarang lelaki yang berlebihan nafsunya dari wanita." Desas hati kecilnya ketika itu.


***************************


Lantas, malam khamis 3 minggu lalu yang menjadi kebiasaan untuk Mutmainnah dan akhawat lain untuk menerima tarbiah dari naqibah mereka tidak dipersia-siakannya.


"Kak Aishah, kenapa Allah bagi kaum kita ni banyak nafsu?"


"Oh..kaya la kita ada banyak nafsu..hehe." Kak Aishah cuba berseloroh memulakan muqaddimah.


"Ala akak ni...takkan nak bergelar jutawan nafsu pulak, mentang-mentang baru balik Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan minggu lepas ye..." Mutmainnah sengaja menyakat naqibahnya itu kembali.


Seronok. Antara mereka tiada jurang. Walaupun bergelar seorang naqibah yang sudah berkahwin dan berkerjaya pula sebagai seorang jurutera, Kak Aishah tidak pernah meletakkan jurang yang tinggi antara dia dan mad'unya. Uslub tarbiyah yang menarik barangkali.


"Begini Ina, sebenarnya dalam dunia ni, nafsu ada 7 peringkat, dan bukan semua nafsu yang Allah cipta itu tak elok." Kak Aishah menarik nafas panjang.


"Nafsu pertama ialah Ammarah iaitu bagi mereka yang sentiasa menghampiri maksiat, terlalu gembira bila mendapat nikmat, dan terus berputus asa bila diuji. Mereka tak sedih dan tak akan menyesal jika berada di dalam maksiat dan kejahatan."


"Contohnya kak?"


"Contohnya? Emm, macam ni... Seorang wanita yang mengaku sebagai seorang yang beragama Islam tetapi bangga apabila tidak menutup aurat. Dia tahu hukum menutup aurat itu wajib tetapi tidak pernah berasa berdosa bila tidak memakai tudung atau apabila memakai pakaian jarang..."


"Yang kedua, nafsu Lawwamah iaitu bagi mereka yang kadang-kadang terjebak dengan dosa tetapi sering menyesal dengan perbuatannya itu. Dia sentiasa berusaha untuk berubah tapi kadang-kadang tidak dapat mengelak godaan syaitan. Kadang-kadang, manusia bernafsu Lawwamah ni akan terdetik di dalam hati mereka untuk berasa riya’ bila melakukan sesuatu kebaikan."


"Kak, macam mana nak elak nafsu Lawwamah ni ye?"


"Mujahadatunnafs! Jihad melawan nafsu. Sebenarnya, nafsu jahat dan iman sering berlumba-lumba untuk memenangi kita. Kita manusia, siap berakal lagi! Maka, pergunakanlah akal pemberian Allah ini dengan cara yang paling waras."


"Thanks kak…ok, sila sambung lagi. Hehe..."


"Ye baik cik adik. Nafsu ketiga ialah Mulhimah. Peringkat ini boleh dicapai bila manusia tu dapat melawan nafsu Lawwamahnya dengan bersungguh-sungguh untuk menyucikan hati. Biasanya, mereka ini memiliki sifat takut, syukur dan bertawakkal kepada Allah yang sebenar-benar, bukan hanya enak melafazkan kalimah syukur dan tawakkal di mulut sahaja. Taubat mereka pun merupakan sebenar-benar taubat. Bukan on off macam tu je."


Martabat seterusnya ialah nafsu Mutmainnah iaitu peringkat nafsu yang pertama yang diredhai Allah swt dan layak memasuki syurga-Nya."


Kak Aishah berhenti seketika untuk mengambil nafas barangkali, fikir Mutmainnah yang masih tersengih-sengih tatkala namanya disebut sebagai salah satu peringkat nafsu yang layak ke syurga.


"Orang yang memiliki nafsu Mutmainnah ni memiliki sifat pemurah yang amat sangat. Wang di tangan mereka tak pernah lekat kerana kerapnya bersedekah. Mereka juga kuat beribadah dan memiliki taqwa yang sebenar iaitu takut dan harap."


***************************


Oh...sesungguhnya nama tak dapat mewarisi peringkat nafsu! Mutmainnah hanya mampu mendengus di dalam hati. Dia masih ingat lagi kisah 'Takut & Harap Saidina Umar' yang mana bila ditanyakan oleh Rasulullah SAW.


"Hai Umar, apa yang kamu maksudkan dengan taqwa?"


Jawab Umar; "takut & harap, iaitu aku takut jika semua manusia layak ke syurga kecuali aku dan andaikata jika seorang saja manusia yang layak ke syurga, aku berharap itulah aku."


"Ok..nak sambung lagi ke?" Kak Aishah memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sebentar tadi.


"Nak, nak..." Nusaibah, sahabat mereka dari Baling, Kedah cepat-cepat menjawab. Fuh, bersemangat.


"Seterusnya ialah nafsu Radhiah. Mereka yang berjaya sampai ke peringkat nafsu ini mempunyai hubungan dengan Allah yang dekat. Mereka mengenali zat-zat Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya. Yang paling hebat, mereka tidak pernah takut akan bala dan tidak tahu gembira pada nikmat, yang mereka kenali ialah keampunan dan redha Allah sahaja."


"Oh...ini macam tahap wali-wali Allah la ni ye kak?"


"Yup..selain itu wali-wali Allah ini dianugerahkan dengan kelebihan memiliki firasat yang tinggi.” Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya; Takutilah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan nur(petunjuk) Allah SWT. [Riwayat At-Tarmizi]


"Oh...macam tu rupanya." sampuk Anisa, teman sehalaqah mereka juga.


"Ok..akak sambung sikit lagi ye. Dua saja lagi, akak cuba ringkaskan. Yang keenam ialah nafsu Mardhiyah, iaitu orang yang memiliki peringkat nafsu ini mempunyai hati dan jiwa yang benar-benar sebati dengan Allah SWT dan yang paling best, setiap perbuatan mereka pasti telah diredhai Allah. Best kan?"


"Ha'ah...seronoknya kalau setiap amal kita confirm and confidence je Allah redha."


"Conclusion, buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang! Seronok je akak cakap macam ni kan? Payah nak buat tu dik, payah! Sebab tu la, kita diberi peluang untuk istighfar. Leka dan terus memohon ampun. It is the best formula!"


"Dan yang last ialah nafsu Kamilah, peringkat yang hanya mampu diperoleh oleh para rasul, para nabi dan wali Allah. Betapa hebatnya mereka, setiap detik amal di dalam kehidupan mereka hanya Allah tujuannya. Tiada dunia dan segala isinya. Subhanallah!"


"Fuh..semput akak nak habiskan semua peringkat nafsu tu. Ok, semua dapat dan faham?"


"Dapat kak..." jawab mereka serentak.


"Ha..good girls! Sekarang, akak nak korang semua nilai balik nafsu korang semua kat peringkat mana. Muhasabah itu mesti! Ingat, penciptaan nafsu oleh Allah SWT itu cantik. Ada nafsu yang baik dan jahat. So, tak boleh nak pertikaikan lagi kenapa wanita tu ada banyak nafsu sebab kalau dia pandai menundukkan nafsunya, insyaAllah akal dan nafsu tu akan berjalan seiring."


Lagi satu, walaupun nafsu yang baik tu macam payah je kita nak dapat, tapi kita tak boleh putus asa. Contohnya, kalau Ina nak dapatkan peringkat nafsu Mutmainnah tu, kena jihad lebih la ye sayang..."


“Err...hehe. InsyaAllah kak!” Tersengih-sengih Mutmainnah. Macam tahu-tahu je aku tengah terfikir tentang tahap nafsu tu.


Kata-kata itu masih terngiang-ngiang sampai malam ini. Ya, mungkin aku terlalu mengikut nafsu yang kurang baik menyebabkan aku terjebak untuk melakukan dosa-dosa kepada Allah. Mungkin bagi mereka di luar sana, khilaf yang dilakukannya itu sekadar dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan Allah bila-bila masa. Tetapi tidak bagi Mutmainnah, selagi mana tindakannya itu bakal menghantar kakinya untuk selangkah ke neraka, dia tidak tega untuk terus berasa bersalah!


Alhamdulillah, jiwa aku makin damai sekarang. Aku tahu Allah sayang pada aku. Moga hijrah aku kali ini lebih bererti. Aku yakin dengan izin Allah! Mutmainnah sudah mampu tersenyum. Malam 10 Muharam 1432 hijrah ini amat bermakna baginya. Dia telah menemui erti hijrah yang sebenar-benarnya. Esok, hari assyura. InsyaAllah, dia akan berpuasa sebagaimana disunatkan berpuasa.


Sabda Rasulullah SAW:
Puasa 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu. [Riwayat Imam Muslim]


Moga Allah terima taubat hamba-hamba yang suka meminta-minta tapi tidak pernah lupa untuk bersyukur pada-Nya!


- Artikel iluvislam.com

Sunday, December 26, 2010

I Luv You, Before I Met You


Ingin menyayangi dan disayangi adalah fitrah setiap manusia. Bohonglah sesiapa yang mengatakan "aku tak perlukan sesiapa dalam hidup... hidup matiku hanya untuk Allah." Rasullah sendiri pernah menegur seorang lelaki yang sanggup berlapar dan enggan berkahwin semata-mata ingin mengabdikan diri kepada Allah.


Kita semua memerlukan seseorang dalam hidup untuk berkasih sayang. Namun, janganlah keterlaluan sehingga menjadikan matlamat berkasih sayang sebagai satu-satunya matlamat dalam hidup. Misi kita dalam hidup ini perlu perlbagai. Sebagai hamba Allah, tentu sekali, matlamat utama adalah untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa. Maka, dalam perjalanan kita menjadi mukmin yang bertakwa, pastikan misi-misi kita yang lain juga seiring dalam mencapai matlamat yang utama. Ini termasuklah misi kita mencari pasangan yang terbaik.


Kebanyakkan wanita yang saya temui, menyayangi 'suami'nya lama sebelum mereka jatuh cinta. The idea of finding & marrying the best menyebabkan mereka mendambakan seseorang yang mempunyai sifat dan sikap yang baik dan terpuji. Kebetulan pula, contoh lelaki yang mereka lihat menepati ciri-ciri tersebut akhirnya benar-benar menjadi suami mereka. Wallahualam, ini perancangan Tuhan. Setiap orang sudah ditetapkan rezekinya (termasuk jodoh) dan Allah Maha mengetahui apa yang didalam hati setiap insan.


Berikut adalah beberapa wanita yang 'menyayangi suaminya' lama sebelum mereka jatuh cinta...


Kisah Kak R
Saya bertemu beliau di satu kursus dan kebetulan menjadi rakan sebilik saya. Entah macam mana terkeluar cerita kahwin. Saya tanya,"bagaimana boleh kenal?"


Menurut Kak R, mereka berdua satu universiti tetapi tidak pernah berbual. Kak R akui, suaminya semasa zaman pelajar adalah antara pemuda yang 'baik-baik'. "Ada satu kali, masa tengah bersembang dengan seorang kawan perempuan, dia (suami) lalu di tepi kami. Akak berbisik kat kawan, andai aku diberikan suami, nak yang macam dia...." beritahu Kak R sambil tersenyum.


Kisah H
H sepupu yang baru balik dari Syria. Saya bertandang ke rumah mereka untuk meraikan majlis walimah beliau dan abangnya. Malam itu, saya menumpang tidur sebilik. Saya bertanya,"bagaimana boleh kenal?"


Menurut H, dia sudah mengenali suaminya sepanjang pengajian di Syria dan kebetulan adalah kawan baik abangnya. Namun, mereka tidak pernah bersembang lebih dari urusan persatuan. Beberapa bulan balik dari Syria, si kawan abang masuk merisik. Akui H, "walaupun kami tidak pernah bersembang, saya kagumi sifat dan sikap beliau. Harapan saya masa kat Syria dulu, semoga saya memperolehi bakal suami sebaik beliau," beritahu H, tersipu.


Kisah A
Saya berjumpa A di satu Konvensyen Islam di Amerika. Usianya masih belasan tahun. Ketika itu, usia saya baru menginjak 22 tahun. Apabila mendapat tahu dia baru seminggu melangsungkan majlis walimahnya, sambil mengenggam tangannya dan gelak gembira, saya berkata,"I'm sooo jealous..."


A balas genggam tangan saya sambil memandang tepat ke mata, "you should not say that to a friend. You should say, I'm happy for you," dia tersenyum sambil menambah,"...and ask Allah to give me the same happiness."


Perancangan dan ketentuan Tuhan amat cantik, malah janjinya dalam surah An-Nur ayat 26 cukup tepat, "Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik."


Namun, tiada siapa dapat meramal siapa jodoh yang telah di tetapkan. Tetapi, the idea of finding & marrying the best, harus disematkan. Allah Maha Mengetahui apa yang dihati setiap manusia. Dan, Dia juga Maha Mengetahui apa yang terbaik.


Bagi saya, dari dulu (semenjak timbul keinginan untuk berkahwin), saya mendambakan yang terbaik untuk diri, keluarga, agama dan masa depan. Alhamdullilah, dalam perjalanan itu saya ditemukan dengan kawan-kawan yang memberi erti pada istilah terbaik...


Saya mendoakan agar kawan-kawan yang yang sedang mencari rezeki (jodoh) masing-masing supaya jangan putus asa. Allah mendengar isi hati anda. The idea of finding & marrying the best bukanlah sesuatu yang fairytales. Ia telah berlaku kepada beberapa pasangan dan InsyaAllah, ini juga boleh berlaku pada anda.


Saya akhiri dengan satu petikan dialog dari novel The Notebook oleh Nicholas Spark "The best love is the kind that awakens the soul and makes us reach for more, that plants a fire in our hearts and brings peace to our minds. And that's what you've given me. That's what I'd hoped to give you forever."


- Artikel iluvislam.com

Thursday, December 9, 2010

Kembalikan Maruah Gadis Bertudung...!!!


Apa lagi yang mampu dikata bila maruah gadis bertudung kini macam dipijak-pijak. Yang melakukannya hanya sebahagian tapi semuanya terkena tempias. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Tak lama dulu kecoh pasal Edisi Siasat kat NTV7 yang mendedahkan seks di tepi tangga. Cukup memalukan lebih-lebih lagi apabila yang melakukannya bertudung.. BERTUDUNG.

Apa lagi nak dikata, lidah kelu untuk bersuara apabila kaum sejenis memijak sendiri maruahnya. Mata bergenang melihatkan hukum agama dicampak ke tepi. Lebih kecewa apabila si pelaku melakukannya tanpa rasa segan silu. Tak habis lagi orang bercakap pasal seks di tepi tangga, keluar pulak isu Skodeng, juga kat NTV7. Tambah memilukan, yang melakukannya turut bertudung. Apa yang sudah jadi??Mungkin golongan ini tidak sedar yang mereka telah membuatkan orang lain menjadi mangsa. Kini gadis bertudung dipandang serong oleh masyarakat.


Salah siapa? Apa yang berlaku telah memberi peluang kepada yang tak bertudung berkata dengan megahnya, 'PAKAI TUDUNG TAK SEMESTINYA ELOK PERANGAI'. Ya!!! Memang pakai tudung tak semestinya elok perangainya. Tapi "Yang bertudung itu belum pasti azabnya, yang tak bertudung sudah pasti azabnya."


Sebenarnya saya tak mampu lagi nak mendengar cemuhan masyarakat terhadap gadis bertudung. Yang bersalah hanya segelintir, tapi masyarakat seolah-olah menganggap semua gadis bertudung itu buruk perilakunya. Mereka berhak bercakap kerana semuanya realiti. Untuk mengubah pandangan masyarakat ini,


sesuatu perlu dilakukan dan yang mampu mengubah ini semua hanyalah GADIS BERTUDUNG itu sendiri.

Memakai tudung, tapi tanpa segan silu memegang tangan bukan muhrim. Memakai tudung, tapi tanpa segan silu berkepit, membonceng motor bukan muhrim. Memakai tudung, tapi tanpa segan silu menunjukkan bentuk badan. Seluar yang ketat dan sendat sudah menjadi amalan. Di atas bertutup tapi ketulan-ketulan lemak di bahagian peha dan pinggul tanpa segan silu menunjukkan wajahnya. Yang lelaki hanya tersenyum, dapat melihat tayangan free tanpa perlu kenakan bayaran. Allah memberi rezeki tapi tidak dimanfaatkan.

Wang yang ada diguna untuk membeli baju yang tidak sesuai. Baju yang longgar dipandang hanya sebelah mata. Tapi baju yang hanya layak untuk budak berumur 5-6 tahun yang menjadi rebutan. Bentuk badan yang hanya untuk tatapan suami dapat ditatap oleh semua orang. Memakai tudung, tapi perhiasan yang wajib dilindungi dibiarkan tanpa pelindung. Semuanya sudah menjadi kebiasaan. Apabila sudah menjadi budaya, yang haram dihalalkan.

Ingatlah yang kita punya sesuatu untuk dipertahankan sebelum menyerahkannya kepada yang berhak. Oleh itu kita perlu berusaha sedaya upaya menjaganya. Salah satu usaha yang perlu dilakukan iaitu menjaga aurat kita. Fikirlah, kalau semua kita dah pertontonkan pada umum, apa yang tinggal untuk suami kita???


Tiada apa lagi mampu dikatakan. Cuma, saya merayu kepada semua gadis bertudung, kita semua perlu berganding bahu mengangkat semula maruah gadis bertudung. Tinggikan semula maruah kita di mata masyarakat. Ubah budaya yang kian menular itu. Ingatlah azab Allah tiap kali kita cuba melakukan sesuatu yang melanggar hukumNya. Sama-samalah kita ingat memperingati antara satu sama lain. Kita hidup hanya sementara. Mungkin hari ni hari terakhir kita....


****************************


mereka yang melakukan maksiat sambil memakai tudung adalah seperti mencemarkan image agama Islam itu sendiri...wanita2 yg keluar rumah tampa diiringi mahram , perbuatan maksiat seperti berzina mudah berlaku....


apa yang saya boleh berpesan kepada anda wahai gadis2 muslimah diluar sana...sekiranya anda tidak mampu untuk mengawal nafsu daripada termakan ayat manis dan janji manis lelaki wajiblah anda menjauhi seorang yg bernama LELAKI, jgn hampiri mrk, jgn ikut kehendak mrk, jgn cuba2 utk berdating dan bercouple berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya...kelak nanti anda yg binasa...


seorang lelaki yg soleh tidak akan mengajak seorang wanita untuk melakukan maksiat...sebaliknya mrk akn melindungi anda...akn tetapi ramai juga gadis2 yg suka memilih lelaki yg dayus yg suka mengajak melakukan maksiat...hnya dgn tiket CINTA sanggup membiarkan diri diperhanyut dibuai maksiat...INGATLAH


sesengguhnya Azab Allah s.w.t amatlah pedih sebagai mana firmanNYA :


dalam surah Maryam, ayat 70 – 72 :-


Tafsirnya :Kemudian, sesungguhnya kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut disiksa dan dibakar dengan api neraka itu. Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya, yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang telah ditetapkan oleh tuhanmu. Kemudian kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya tinggal bertelut (duduk berlutut) di dalam neraka itu.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Maryam, ayat 85 hingga 87 :-


Tafsirnya :Ingatlah hari kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk menghadap Allah Ar-Rahman dengan berpasuk-pasuk (berkumpulan). Dan kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka jahanam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian dengan iman dan amal soleh di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatnya.

Sunday, December 5, 2010

Bidadari Syurga hadir juga di bumi



Wahai Muslimah ku tahukah dikau….
Bidadari itu jelitawan yang sangat mekar,
Riasnya indah lagi memukau,
Lentuknya tertib lembut gemalai,
Nur kasihnya terang cemerlang terpancar,
Serba sempurna akhlak gemilang.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…
Sesungguhnya bidadari itu mempunyai Ratu,
Yang sangat sempurna dari yang sempurna,
Yang sangat dicemburui oleh sekaliannya,
Yang menjadi peneman paling utama,
Yang sangat memukau melebihi segalanya.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…
Ratu bidadari pada dunia fana ini,
Isteri solehah gelaran di beri,
Tiada tertanding akhlak dan pekerti,
Tiada terbilang kesetiaan dan ketaatan diberi,
Tiada ternilai budi dan pengorbanan pada Allah dan suami,
Itulah Ratu bidadari di alam syurgawi.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…
aku mengidam bertemu dengannya,
Hanya mengharap pada Ilahi,
Agar niat, amalan dan ikhlas ku di perhalusi,
Dalam merafakkan kesyukuran kepadaNya,
Agar syurga menjadi imbalannya,
Supaya hajatku menjadi terlaksana.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau..
Sesungguhnya Ratu bidadari menjadi idamanku,
Bukan sahaja membawaku ke syurga Allah,
Malah menjadi Ratu penemanku di alam sana,
Dan menjadi harapan dan doaku selama ini ……
Agar Ratu bidadari itu adalah kamu….……

InsyaAllah…..


Wednesday, September 22, 2010

muhasabah kembali

Bismillahirrahmanirrahim...


(1)


(2)


sahabat2, fikir sejenak dan muhasabah kembali...



*Mari berCinta dengan ALLAH.. Rebutlah redha-NYA..^_^

Monday, July 5, 2010

Si Pohon Semalu


(Inspirasi dari identiti srikandi Abu Bakar, Elya Khadeeja, Novel Tautan Hati)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...


“Pantang disentuh pasti menunduk sopan, tapi durinya tetap tajam berceracakan”


Pohon semalu bersifat pemalu. Sifat malu lambang keindahan dan kemuliaan wanita bermaruah! Juga buat insan bernama adam, malu adalah perisai maruah. Rasulullah, qudwah hasanah buat seluruh alam, sifat malu itu simbol peribadi baginda. Daripada Sa’id Al-Khudri katanya:

“Baginda Rasulullah adalah seorang yang sangat pemalu lebih daripada seorang dara dalam kelubungnya dan apabila melihat sesuatu yang tidak disukai Baginda, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu daripada wajah Baginda”

(Hadis riwayat Muslim (243))


Malu juga melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“malu dan iman itu adalah teman seiring jalan.Jika yang satu diangkat nescaya terangkat pula yang satu lagi”

(Hadis riwayat Malik (243))


Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda,

“Sesungguhnya bagi tiap-tiap agama itu ada ciri-ciri kesusilaan maka untuk Islam ialah sifat malu”


Permasalahan: ”cikgu selalu pesan jangan malu bertanya, nanti sesat jalan”


Dalam konteks menuntut ilmu dan menegakkan kebenaran Allah, kita tidak perlu malu. Malu biarlah bertempat. Tetapi Malu untuk menjadi wanita yang rosak akhlaknya iaitu hanya pandai menggoda lelaki bukan muhrimnya. Selain itu, malu untuk melakukan maksiat. Yang penting, malu pada Allah dan Rasul untuk mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya.


Bagi si pohon semalu, bersama sifat malunya, ada duri yang tajam berbisa. Duri itu adalah simbolik untuk sebuah perjuangan yang lahir dari iman. Duri itu ibarat senjata yang mahu meruntuhkan semua kemungkaran yang ada. Itulah senjata buat seorang mujahidah!


Pohon semalu juga mengeluarkan bunga ungu yang cantik. Begitulah juga wawasan seorang mujahidah, dia ingin menghiasi alam dengan haruman bunga-bungaan akhlak yang cantik menawan.


Selain itu, dedaun yang menghijau pada pohon semalu sangat erat pertaliannya antara satu sama lain. Apabila sehelai daun disentuh, daun-daun di tepinya turut tertutup malu. Tindak balas daun-daun itu lambang persaudaraan dan kasih sayang. Begitulah seorang mujahidah, dia perlu memandang semua orang dengan kaca mata dakwah untuk membawa seseorang itu mencintai Allah dan RasulNya.


Bangkitlah Mujahidah!


الحياء خير كله

“malu itu baik semuanya”

(Hadis riwayat Bukhari (245))

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....