Tuesday, August 31, 2010

♥Memilih Pasangan Hidup DUNIA & AKHIRAT♥


بِسمِ اللّهِ الرَّحْمنِ الرَّحَيْم


Dalam membina sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah, pemilihan pasangan hidup merupakan pintu gerbang pertama yang mesti dilaksanakan secara teliti sebelum masuk kepada alam bahtera rumahtangga Islami agar perjalanan selanjutnya menjadi lebih mudah dan indah untuk dilalui.

Islam sendiri sangat menekankan sistem pemilihan pasangan hidup yang berteraskan kepada unsur-unsur Islam. Sebab apa? supaya rumahtangga yang dibina sentiasa bahagia dan mendapat redha daripadaNya tanpa berimankan nafsu semata.


berdasarkan tinjauan penulis dalam beberapa blog, penulis tertarik dengan kriteria2 yang cuba disampaikan oleh srikandiumar dalam blog beliau, Asraarul Mufidah yang mana seharusnya dinilai dan ditimbang tara bagi mereka yang bersedia menjejaki alam perkahwinan.



Rasulullah s.a.w menasihatkan agar kita, sama ada lelaki atau wanita, memilih pasangan yang baik untuk simpanan dan tempat memproses benih anak. Rasulullah s.a.w mengingatkan dengan sabdanya, bermaksud:


“ Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ibnu Adi dan Ibnu Asakir pula meriwayatkan satu hadis secara marfu’ daripada Aisyah r.ha bermaksud:


“Pilihlah yang terbaik untuk mengisi benih kamu, kerana wanita (isteri) itu akan melahirkan anak mirip saudaranya, baik lelaki atau wanita.”


Dalil al-Qur’an menunjukkan bahawa Allah telah menetapkan seorang wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Dan begitulah sebaliknya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“ Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.” (Surah an-Nur:26)


Berikut adalah saranan beliau dalam memilih pasangan dan untuk kita menilai diri sendiri sama ada sudah mempunyai ciri berikut atau belum. Orait, bersedia…mula menilai..*-* >


1) Yang beriman dan kuat agamanya. Ini agak relatif. Ada yang mempunyai ilmu agama yang cetek tetapi sangat cintakan ilmu agama dan selalu menambah serta berminat untuk mendalami ilmu. Seorang isteri yang cetek ilmu agama, tetapi solehah dan taat akan mudah dibentuk mengikut acuan suaminya. Ini juga mungkin boleh diterima, especially lelaki dalam memilih calon isterinya. Sebaliknya jika untuk wanita, perlu dilihat sejauh mana ilmu agama calon suaminya kerana ia akan melibatkan banyak faktor, kerana suami adalah ketua keluarga.


a) Seorang suami yang kurang agama akan sukar menerima teguran isterinya dalam bab agama kerana keegoannya. Ini bergantung pada kekreativitian isterinya menggunakan teknik yang bersesuaian untuk menegur secara berhikmah.


b) Seorang isteri berkemungkinan akan bertindak sebagai queen control dalam rumah tangga tanpa disedarinya. Keadaan ini baik jika si isteri ingin membawa Islam dalam family, tetapi jika suami rendah keyakinan diri (self esteem) akan menyebabkan rasa hatinya tidak meredhoi isterinya tanpa disedari. Apatah lagi jika perbezaan ilmu agama keduanya sangat berbeza. Isteri yang banyak pengalaman akan tahu merendahkan dirinya di hadapan suaminya bila perlu dan tetap menghormati suaminya.


c) Jika suami mempunyai ilmu agama tetapi isteri kurang dan degil pula, maka, sukar sangat suami hendak mengubah perangai isterinya yang telah dibiasakannya dari kecil hingga dewasa. Apatah lagi jika memilih isteri kerana kecantikannya. Kebolehan untuk menegur isteri akan hilang apabila isteri membuat perangai manjanya dan cuba untuk memenangi hati suaminya dengan akhlak dan perangai lamanya ( contoh : berhias berlebihan dan make-up berlebihan ketika keluar rumah). Suami jadi sukar menegur, bila dia berbangga mempunyai isteri yang cantik dan suka isterinya mempamerkan kecantikannya kepada kenalan dan saudara. Ini dinamakan dayus (suami yang membiarkan isterinya melakukan kemungkaran).



2)
Yang mempunyai adik-beradik yang ramai. Ini agak relatif, jika di sebelah pihak sudah mempunyai adik-beradik yang ramai, faktor ini mungkin hanya nilai tambah sahaja. Namun, sama-samalah kita menyahut seruan Rasulullah s.a.w untuk meramaikan umat Baginda. Walau bagaimanapun, mempunyai ramai anak tidak menjamin kebaikan seandainya salah didikan terhadap mereka. Ibu bapa harus mengambil kira faktor didikan yang baik untuk anak mereka. Jika beranak lima sahaja sudah tidak mampu memberi didikan agama yang sempurna usah ditambah, kerana anak yang rosak inilah yang akan mengacau bilaukan masyarakat dengan akhlak dan pelbagai gejala sosialnya. Malah, ia juga yang memalukan nama baik Islam dan menconteng arang di muka ibu bapanya. Apa yang penting adalah kualiti. Namun, Islam amat menyanjungi ibu yang mempunyai anak yang ramai hingga dua belas contohnya, dan semua cemerlang dalam kehidupan. Subhanallah. Itulah yang kita harapkan. Memang bilangan anak adalah ketentuan Allah, tapi ia boleh dirancang antara suami dan isteri. Natijahnya Allah tentukan.



3) Yang baik budi pekerti serta mengutamakan ibu bapa. Penting bagi memilih pasangan yang berakhlak (perangai) baik kerana ia akan menyantuni pasangannya dengan baik setelah berumah tangga. Jika tidak suka sesuatu sifat pasangannya, maka ia diam dan bersabar. Jika suka, ia bersyukur. Terutama akhlaknya baik pada ibu bapa dan memenuhi tanggungjawab sebagai anak. Sebab itu faktor iman amat penting kerana ia akan bijak membuat penilaian. Sebagai suami, mengutamakan ibu dari isterinya. Sebagai isteri, mengutamakan suami dari ibunya.



4) Yang bercampur golongan rakan yang baik. Seseorang itu adalah cerminan sahabatnya. Jika kita ingin mengetahui akhlak calon pasangan kita, lihatlah pada akhlak sahabatnya. Jika sahabatnya kalangan soleh atau solehah, insya Allah, ke’soleh’an dan ke’solehah’an sahabatnya akan turut terpalit dan terpengaruh padanya. Terutama sahabat yang paling akrab dan selalu bersamanya. Ataupun, ke ‘soleh’an dan ke ‘solehah’an bakal pasangan kita yang telah mempengaruhi sahabatnya. Oleh, itu faktor ini sangat penting kerana kawan atau sahabat adalah antara pengaruh paling besar dalam kehidupan seseorang terutama remaja dan pra-dewasa.



5) Latar belakang daripada keluarga/ keturunan yang baik. Adalah penting bagi kita untuk memilih pasangan yang berasal dari keturunan atau keluarga yang baik-baik. Ini adalah kerana beberapa faktor.


a) Keturunan yang baik menjamin dirinya dibesarkan dalam suasana keluarga orang yang baik-baik.


b) Ia akan mempengaruhi generasi anak, cucu dan cicit yang akan lahir dari zuriatnya nanti supaya turut mempunyai didikan dan asuhan yang baik kerana dipengaruhi oleh faktor keluarga dan keturunan orang baik-baik.



6) Yang mendokong atau menyokong Islam. Ini adalah faktor yang sangat jarang dititik beratkan oleh masyarakat sekarang. Akibatnya, ramai pejuang Islam yang futur (tidak berada lagi) di jalan dakwah dan daripada menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Kesannya sangat buruk terhadap jamaah yang memperjuangkan Islam. Kehilangan figur-figur penting ini melemahkan semangat ahli yang lain dan membuatkan Islam kekurangan orang-orang yang memikul beban dakwah. Sebab itulah, penting bagi kita memilih pasangan yang sefikrah yakni sama cara fikir, supaya ia tidak mengganggu, menyekat, menghalang atau membantutkan gerak kerja dakwah kita di masa hadapan. Terutama wanita, sering suaminya menyuruhnya menumpukan perhatian pada rumah tangga dan mengurangkan gerak kerja dakwahnya. Wanita harus waspada dan sangat berhati-hati dalam memilih pasangan. Apatah lagi, apabila mendapat calon yang terang-terang menentang Islam, perlulah bijak dalam membuat penilaian dan pertimbangan. Usah terburu-buru dan bimbang menjadi andartu, justeru menerima sahaja siapa yang masuk meminang tanpa diselidiki dengan teliti. Akibatnya, rumah tangga kacau bilau kerana begitu banyak perbezaan pendapat dan akhirnya futur dari jalan dakwah dan perjuangan Islam. Ingat, rumahtangga jangan diabaikan, perjuangan jangan diremehkan.




7) Yang adil dan memahami. Penting bagi kita memilih pasangan yang adil dan memahami dari semua sudut. Adil adalah penting kerana, jika ia adalah suami, maka ia akan adil jika berpoligami. Jika ia tidak adil, maka kemungkinan untuk mengabaikan isteri-isterinya jika berpoligami adalah sangat tinggi. Akibatnya runtuh institusi kekeluargaan, isteri terpaksa menyara hidup diri dan anak-anak dan asuhan terhadap anak-anak terabai mengakibatkan anak-anak terlibat dengan gejala tidak bermoral. Begitu juga si isteri, bila ia tidak adil, ia sukar menghargai pengorbanan dan kesusahan suami, justeru meleter dan membebel tanpa mengira masa yang sesuai. Faktor memahami; agak sukar ini berlaku kerana lelaki dan wanita mempunyai cara fikir dan perwatakan yang berbeza. Namun, seorang yang berpengalaman dan mempunyai banyak ilmu melalui pembacaan akan mudah serasi dan menerima pasangannya seadanya tanpa melukai perasaannya. Teguran berhemah dan saling bertolak-ansur adalah resepi kebahagiaan rumah tangga. Remaja dan mereka yang sudah berada di peringkat umur perkahwinan perlulah banyak menambah ilmu rumah tangga, resepi dan tips kebahagiaan melalui buku-buku, majalah dan menimba pengalaman dari mereka yang telah lebih dahulu merasa asam garam rumah tangga. Sebab itu faktor iman dan agama sangat penting kerana Islam banyak mengajar kita nilai-nilai yang baik terutama sabar dan redha. Seorang yang kuat agamanya maka biasanya kuat kesabarannya dan teguh keimanannya serta tidak mudah melatah apabila menghadapi situasi yang keruh dan dingin dalam melayari bahtera rumah tangga.




8) Yang pandai berjimat. Kita perlu memastikan bahawa calon pasangan kita adalah pandai berjimat orangnya dan tidak boros. Namun, jika calon kita sangat suka bersedekah, maka kriteria ini adalah nilai tambah. Tidak akan rugi mereka yang suka bersedekah. Allah membalas dengan sebesar-besar ganjaran untuk mereka yang suka bersedekah. Jika calon kita boros orangnya, maka perlu dinilai semula dan melihat kemampuan calon lain menandinginya kerana sifat boros ini sangatlah tidak baik dan ia akan menjejaskan ekonomi rumahtangga nanti. Kehidupan berumah tangga memerlukan penggunaan wang yang banyak apatah lagi apabila sudah mempunyai cahaya mata. Maka, pemborosan perlu dielakkan dan sifat ini jika sudah terbiasa, dibimbangi sukar diubah apabila telah berkahwin. Mengambil mudah dalam memilih pasangan akan menyebabkan penyesalan seumur hidup dan kepayahan dalam mendidik anak-anak kerana ia telah mewarisi akhlak buruk pasangan itu tadi.




9) Yang pandai menjaga pandangan. Adalah perlu dipastikan, bahawa calon pasangan adalah yang tidak liar matanya. Ini adalah kerana Islam menuntut umat supaya menurunkan pandangan dan memelihara kemaluan untuk menjaga hati. Calon pasangan yang gagal menjaga pandangan ini berkemungkinan akan berlaku curang dan berhati kotor kerana pandangan yang tidak dijaga. Justeru, ada dua kemungkinan untuk soal menjaga pandangan ini.


a) Kemungkinan besar, calon yang tidak menjaga pandangan ini tadi telah memilih kita kerana paras rupa dan kecantikan, bukannya agama. Ini menunjukkan tahap penguasaan agamanya yang lemah dan ketidakmampuannya membuat penilaian yang betul semasa memilih kita. Apatah lagi pilihan lain yang akan dibuat setelah berumah tangga nanti, sudah tentu aspek penilaiannya tidak berdasarkan pandangan hukum dan agama.


b) Apabila ia tidak menjaga pandangan, ini mungkin mengurangkan aspek penyucian hati dan kebersihan hati, justeru seorang yang bermasalah hati memungkinkan banyak mendatangkan masalah dalam rumah tangga terutama dalam memberi didikan yang baik terhadap anak-anak. Jika faktor kecantikan dan bukan keimanan yang diambil kira semasa pemilihan kita sebagai pasangannya, maka ada kemungkinan untuk pasangan kita mendapatkan yang lain seandainya ada yang lebih cantik dan menawan hatinya.



Faktor-faktor inilah yang perlu dititik beratkan dalam memilih pasangan. Tiada yang sempurna tapi masih ramai yang menghampiri kesempurnaan. Memilih yang terlalu banyak cacat celanya hanya kerana simpati atau cinta hanya akan mengakibatkan kekecewaan dan penyesalan seumur hidup. Jika tidak mampu bertahan, ambillah orang tengah yang beriman untuk diajak berunding secara baik. Seandainya tidak mampu juga untuk kekal dalam sebuah perkahwinan, maka bercerailah dengan baik walaupun talak itu adalah perkara halal yang dibenci Allah. Ingatlah bahawa iman, sabar dan redha adalah kuncinya.


Ada banyak doa yang baik untuk diamalkan agar dipermudahkan mendapat jodoh yang baik. Antaranya:


“Robbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrota a’yunin waj’alna lilmuttaqina imama.”

“Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakan kami pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami kalangan pemimpin orang-orang yang bertakwa.”



“Allahumma inna nas aluka zaujan solihan wa ‘aliman wa ‘adilan wa zakiyyan, wa minal muttaqiin wa min at-tawwabin wa min al-mutathohhirin wa min al-sodiqin wa min al-mujtahidin wa min al-mujahidin wa min an-najihin wa min as-sobirin wa min al-ulama’ wa min al-fuqaha’ wa min as-syuhada’ wa min al-hufaza’ ..amiin ya Allah.”

“Ya Allah ya Tuhan kami, Kami memohon dikurniakan suami yang soleh dan berilmu dan adil dan dan pandai dan terdiri dari kalangan mereka yang bertakwa, dan mereka yang bertaubat, dan mereka yang menyucikan diri, dan mereka yang benar, dan mereka yang berusaha gigih, dan mereka yang berjuang, dan mereka yang berjaya, dan mereka yang sabar, dan mereka yang banyak ilmu, dan mereka yang faqih, dan mereka yang mati syahid dan mereka yang menghafaz al-Qur’an. Perkenankanlah permintaan kami ya Allah.”


Wallahu'alam...


Mari berCinta dengan ALLAH
! ^_^

2 comments:

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....