(Inspirasi dari identiti srikandi Abu Bakar, Elya Khadeeja, Novel Tautan Hati)
“Pantang disentuh pasti menunduk sopan, tapi durinya tetap tajam berceracakan”
Pohon semalu bersifat pemalu. Sifat malu lambang keindahan dan kemuliaan wanita bermaruah! Juga buat insan bernama adam, malu adalah perisai maruah. Rasulullah, qudwah hasanah buat seluruh alam, sifat malu itu simbol peribadi baginda. Daripada Sa’id Al-Khudri katanya:
“Baginda Rasulullah adalah seorang yang sangat pemalu lebih daripada seorang dara dalam kelubungnya dan apabila melihat sesuatu yang tidak disukai Baginda, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu daripada wajah Baginda”
(Hadis riwayat Muslim (243))
Malu juga melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“malu dan iman itu adalah teman seiring jalan.Jika yang satu diangkat nescaya terangkat pula yang satu lagi”
(Hadis riwayat Malik (243))
Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda,
“Sesungguhnya bagi tiap-tiap agama itu ada ciri-ciri kesusilaan maka untuk Islam ialah sifat malu”
Permasalahan: ”cikgu selalu pesan jangan malu bertanya, nanti sesat jalan”
Dalam konteks menuntut ilmu dan menegakkan kebenaran Allah, kita tidak perlu malu. Malu biarlah bertempat. Tetapi Malu untuk menjadi wanita yang rosak akhlaknya iaitu hanya pandai menggoda lelaki bukan muhrimnya. Selain itu, malu untuk melakukan maksiat. Yang penting, malu pada Allah dan Rasul untuk mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya.
Bagi si pohon semalu, bersama sifat malunya, ada duri yang tajam berbisa. Duri itu adalah simbolik untuk sebuah perjuangan yang lahir dari iman. Duri itu ibarat senjata yang mahu meruntuhkan semua kemungkaran yang ada. Itulah senjata buat seorang mujahidah!
Pohon semalu juga mengeluarkan bunga ungu yang cantik. Begitulah juga wawasan seorang mujahidah, dia ingin menghiasi alam dengan haruman bunga-bungaan akhlak yang cantik menawan.
Selain itu, dedaun yang menghijau pada pohon semalu sangat erat pertaliannya antara satu sama lain. Apabila sehelai daun disentuh, daun-daun di tepinya turut tertutup malu. Tindak balas daun-daun itu lambang persaudaraan dan kasih sayang. Begitulah seorang mujahidah, dia perlu memandang semua orang dengan kaca mata dakwah untuk membawa seseorang itu mencintai Allah dan RasulNya.
Bangkitlah Mujahidah!
الحياء خير كله
“malu itu baik semuanya”
(Hadis riwayat Bukhari (245))
No comments:
Post a Comment