
"Syikin, mak dah tak tahan. Sampai bila kau nak jadi macam ni. Tebal muka mak tolak setiap orang yang datang."
"Belum jodoh mak. Nak buat macam mana."
"Belum jodoh apanya. Kau yang tolak mereka semua."
Wajah mulusnya tertunduk sepi.  Sedaya upaya wajahnya diusahakan supaya tenang. Namun di hatinya hanya  Allah yang tahu. Malam itu dia menangis sendirian. Tak sanggup rasanya  hendak menahan desakan keluarga agar menerima sahaja pinangan mereka  yang datang. Namun dia ada pertimbangannya sendiri. Bukan dirinya tidak  mahu menikah. Tetapi seperti yang sentiasa disampaikan olehnya, belum  jodoh.
Syikin cantik, sopan, akhlaknya  baik. Gadis desa berpendikan tinggi yang menjadi tambatan hati  jejaka-jejaka yang mengenalinya. Cuma masalahnya..
"Kalau cantik tapi tak kahwin-kahwin juga, andartulah kau nanti!"
Malam itu sudah kesekian kalinya  dia menangis. Terasa sungguh beratnya hendak menghadapi desakan  keluarganya.  Mahu sahaja dia mengalah. Pernah sahaja dirasakannya  bahawa Allah tidak lagi mahu membantunya, namun dibuang jauh-jauh   perasaannya itu. Teringat dia akan perbualannya dengan teman karibnya,  Fasihah.
"Fasihah, ana dah tak tahan  lagi. Semalam ada lagi orang masuk meminang. Keluarga ana asyik-asyik  suruh ana segera menikah.  Tak tahu sampai bila ana harus bertahan."
"Syikin ukhtiku, bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,kan?""Memanglah, tapi sampai bila? Mana ikhwah-ikhwah kita? Kenapa bukan mereka yang masuk meminang?""Syikin, sabar. Masanya masih belum tiba Syikin. Ana yakin ikhwah-ikhwah kita juga sedang berusaha sedaya-upaya mereka. Realiti masyarakat di Malaysia ini, menikah awal itu suatu yang agak 'luar biasa' bagi mereka. Ana yakin, itulah yang menghambat kebanyakan daripada ikhwah-ikhwah kita. Bukannya mereka tidak berusaha.""Kenapa kita kena susah-susah tunggu ikhwah-ikhwah kita juga? Ramai juga calon lain yang soleh, kenapa mesti mereka?""Ukhti, apa tujuan hidup kita?""Tentulah mengabdi kepada Allah.""Dan enti tahu, untuk beristiqomah di atas jalan pengabdian kepada Allah itu, tidak mudah. Banyak ranjau dan durinya. Sebab itu kita perlu bersedia dengan persiapan yang terbaik. Dan kita bukan pengabdi semata-mata, kita da'i. Pengislah ummat. Mengabdi kepada Allah dan mendakwahi ummat ke jalan Allah. Kerana kita ummat Nabi Muhammad.Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."[Q.S. Yusuf, 12:108]"Untuk kekal berada dalam jalan ini sekarang, ketika kita bersendirian, yang perlu kita hadapi adalah diri kita sendiri. Namun selepas pernikahan, keputusan kita tidak lagi bersendirian. Suami kita nanti sangat akan mendominasi keputusan- keputusan kita. Jika suami kita nanti bukan seorang yang faham akan dasar-dasar perjuangan kita, sudah pasti usaha untuk kita terus bertahan akan menjadi semakin sukar."Dia terdiam. Syikin atau nama sebenarnya Nurul Asyikin Abdullah, bukannya tidak tahu akan hakikat itu. Cuma fikirannya terganggu menyebabkan diluahkan segala permasalahannya itu kepada akhwat yang sangat dekat kepadanya. Fasihah juga sangat memahami. Tidak perlu diterangkan, ukhuwah yang terbina telah menjelaskan sedari mula. Tekanan perasaan dan masalah dalaman manusia mampu dikurangkan malah diselesaikan dengan berkongsi mengenainya.
Malam itu dia kembali menghubungi akhwatnya itu.
"Assalamu'alaikum. Fasihah Fathiyyah binti Kamaruddin ada?"
"Wa'alaikumussalam Warahmatullah. Tak pernah-pernah ada orang telefon ana sebut nama penuh."
"Heh, saja, nak mengusik akhwat tercinta."
"Yelah tu. Dari suara enti ana dah dapat rasa ada sesuatu yang enti fikirkan. Ada apa Nurul Asyikin binti Abdullah? Ayyu  musykilah ya ukhti el kareemah?"
Lalu dikongsikannya hal yang  baru dihadapinya. Dan seperti biasa juga, Fasihah akan setia mendengar  dan menghibur serta  menenangkannya.
"Entahlah. Ana tak tahu kenapa  banyak sangat ujian yang datang. Mungkin Allah nak latih ana untuk lebih  bersabar agaknya.  Menunggu si dia yang entah bila akan kunjung tiba.  Kena banyak berdoa lagi ni."
"Betul tu. Berdoalah dengan  lebih bersungguh-sungguh ukhti. Dan ikhlaskan niat. Ramai orang cari  Allah ketika hadapi masalah. Mereka berdoa semata-mata untuk memenuhi  keperluan dunia mereka. Bila apa yang mereka mahu dah dicapai, mereka  lupakan Allah. Dan Allah katakan mereka melampaui batas.
Dan apabila manusia ditimpa  bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau  berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia  (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah  berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.  Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang  selalu mereka kerjakan.
[Q.S. Yunus, 10:12]
"Ikhlaskan niat. Mungkin selama  ini doa kita hanya untuk disegerakan menikah, bukan kerana untuk mencari  redha Allah. Kalau memang kita bersungguh-sungguh untuk mencari  redha-Nya, pasti jalannya akan terbuka.
Dan orang-orang yang berjihad  untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada  mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta  orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]
"Jangan resah jika belum  berpasangan, tetapi resahlah jika belum mendapat cinta daripada Tuhan.  Ana pegang sungguh kata-kata tu. Ana pun kalau boleh nak segera menikah,  tapi mungkin ada hikmahnya Allah masih menangguhkannya. Mungkin ana  masih belum bersungguh-sungguh dalam mencari cinta-Nya. Mungkin jika  Allah izinkan ana menikah sekarang, hala tuju cinta ana akan tersasar  kepada makhluk-Nya."
Asyikin berfikir dalam. Cinta  Allah. Sudah benarkah hala tuju cintanya? Sudah digapaikah cinta Allah  itu? Ikhlaskan amalnya selama ini mencari redha-Nya semata?
"Terima kasih ukhti. Insya-Allah ana akan terus pegang kata-kata itu."
Perbualan ditamatkan. Namun fikirannya terus berputar. Masih bergema-gema di telinganya mendengarkan kata-kata akhwatnya itu. 
'Jangan resah jika belum berpasangan, namun resahlah jika belum mendapat cinta dari Tuhan.'
Kisah lalu hidupnya  kembali memenuhi ruangan fikirannya. Teringat akan saat-saat mula  ditarbiyah. Bagaimana dia mula mengenali Fasihah. Bagaimana seluruh  hidupnya berubah kembali mengenali Allah. Mula membaca Al-Quran, mula  menjaga solat, mula menjaga pergaulan, mula berpakaian labuh dan sopan,  sehingga kembali menjadi dirinya kini.
Dirasakannya Allah begitu baik  kepada dirinya. Allah telah menyelamatkannya daripada jurang  kejahiliyahan kepada cahaya hidayah-Nya. Memberikan dirinya peluang  untuk kembali menjadi hamba-Nya yang dekat kepada-Nya. Tidak semena-mena  matanya berkaca. Lalu manik-manik jernih menuruni pipi.
'Ya-Allah. Ampunkan aku.  Selama ini aku khilaf. Maafkan aku jika selama ini aku tidak ikhlas  mencari cinta-Mu. Maafkan aku jika selama ini aku kurang mengingatimu.  Maafkan aku jika selama ini aku hanya berdoa kepada-Mu untuk memenuhi  keperluan peribadiku. Ya-Allah, bantulah aku untuk kembali mencari  cinta-Mu. Bantulah aku untuk kembali memperbaiki diri semata-mata  untuk-Mu.' Hatinya bermunajat lirih.
Malam itu tidak dibiarnya  berlalu begitu sahaja. Solat malam didirikan. Al-Quran ditadabburinya.  Hatinya terubat dengan ayat-ayat yang menceritakan perihal syurga dan  keindahannya. Tafsir Surah Ar-Rahman sangat menghibur hatinya.
Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. [70]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [71]
(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah. [72]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [73]
Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin. [74]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [75]
Mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. [76]
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? [77]
Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Karunia. [78]
[Q.S. Ar-Rahmaan, 55:70-78]
'Alangkah indahnya syurga. Layakkah aku untuk menghuninya?'
Lalu tekad disemat.
"Ya-Allah, hidupkalah aku dalam  redha-Mu semata-mata. Jika memang jodohku bukan di dunia ini Ya-Allah,  maka kurniakanlah aku jodoh di akhirat kelak. Jodoh abadi yang  disediakan untuk para pencinta-Mu. Jadikan aku seperti Rabiah Al-Adawiyah yang tulus mencari redha-Mu dan cinta-Mu."
Air mata terus menjadi saksi.  Keheningan malam terus dipecahi bunyi tangis dan rintih seorang Nurul  Asyikin yang sudah kembali mencari cinta sejatinya. Dan Allah pasti  punya rencana-Nya. Percaturan Allah siapa yang tahu?
Keesokkan paginya Sony Ericsson  K800i kesayangannya berbunyi. SMS masuk. Daripada Ukhti Syuhada,  murobbiyahnya. Murobbi atau murobbiyah adalah mereka yang  bertanggungjawab menguruskan urusan tarbiyah seseorang ikhwah dan akhwat  tarbiyah. Mereka yang mengatur perjalanan tarbiyah dan porgram-program  yang perlu dilalui untuk menambahkan kefahaman dan memastikan  keberlangsungan tarbiyah yang dijalani oleh seseorang ikhwah dan akhwat  itu.
Lalu SMS dibaca.
Salam. Ukhti, alhamdulillah malam semalam ada ikhwah hantar resume. Kalau enti dah bersedia, nanti ana dan zauj ana akan susunkan majlis ta'aruf untuk enti dan ikhwah tu.
Terasa  bagaikan hawa sejuk mengalir menyelubungi jiwa dan perasaannya. Kasih  sayang Allah sungguh terasa membelai ubun-ubun.  Segera sujud syukur  dilakukan. Air mata syukur dan bahagia mengiringi pagi yang indah itu.  Nurul Asyikin semakin yakin bahawa cinta Allah tidak pernah  mengecewakan.
Bagaimana anda?
Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasih kan datang
Sesuai dengan iman di hati
Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menunggu
Jika di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menanti.
Cintailah Ilahi
Cinta Sejati
No comments:
Post a Comment