Sunday, January 16, 2011

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?


Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost that your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go
Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah...


Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu InshaAllah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh kerana lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu,aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit.Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku. ”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...


Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?


Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat subuhku ‘gajah’ lagi.Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi.Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.


Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat.Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.


Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.


Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.


Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku padaNya masih berbaki.


Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah,mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.


Dalam hadis Nabi SAW disebutkan:


Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.


Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah SWT. Air panas yang terkena ditanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.


”Nauzubillah min zalik”, ucapku dalam hati.


Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat subuhku.Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah,lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.


Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa,bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.


Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.


Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah,Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan. Tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.


Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaranNya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:


”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”.


Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?


Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga.Ya Allah,orang yang melaksanakan solat, tiang agamaMu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini.


Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad,perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.


Allahuakbar,allahuakbar....


Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...


- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....