Sunday, December 5, 2010

Mahkamah Syariah vs Mahkamah Sivil di Malaysia


Ingat lagi kes mahkamah yang menjadi bualan hangat sebelum-sebelum ini membabitkan balu Sarjan M Moorthy ( seorang Islam ) iaitu S Kaliammal telah membuat rayuan agar kes arwah suaminya ini didengar di Mahkamah Sivil dengan alasan ia tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya jika ia didengar di Mahkamah Syariah. Lama rasanya bukan? Mungkin ada yang masih ingat, mungkin ada yang tidak ingat lagi…..
Mahkamah Rayuan, di sini, semalam memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama pendaki Everest, Sarjan M Moorthy yang penukaran agamanya kepada Islam menimbulkan pertikaian.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Zainun Ali, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner membuat keputusan itu ketika menolak rayuan yang dikemukakan oleh balu Moorthy, S Kaliammal. Panel hakim memutuskan Mahkamah Syariah pihak berkuasa kompeten menentukan perkara berkaitan penukaran agama Islam.

Kaliammal, hadir di mahkamah, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2005, yang enggan menentukan status agama suaminya atas alasan perkara bersifat sedemikian terletak dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah. Beliau memfailkan saman pemula pada 21 Disember 2005 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Moorthy seorang penganut agama Hindu.
Pada hari berikutnya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperoleh saman ex-parte daripada Mahkamah Syariah bahawa Moorthy sudah memeluk Islam sebelum beliau meninggal dunia. – Bernama

Kira dalam bahasa mudahnya keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru membuktikan bahawa Islam berada dalam kelas yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan selain membuktikan bahawa Mahkamah Syariah dan Sivil adalah dua mahkamah yang sama taraf tetapi Mahkamah Syariah tidak sama sekali berada di bawah Mahkamah Sivil. Baguslah kalau dibuat begini, tiadalah nanti akan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, buat sesuka hati kepada institusi kehakiman syariah di Malaysia ini dan akhirnya kredibiliti mahkamah syariah kita akan terus terpelihara.
Alasan mengatakan orang bukan Islam tidak mendapat pembelaan sewajarnya tidak dapat juga diterima kerana orang bukan Islam masih boleh dipanggil sebagai saksi dalam sesuatu kes selain keterangan mereka juga boleh diambil kira dalam kes-kes tertentu. Jadi tidak timbul rasanya soal ketidakpuashatian, kecurigaan dek kerana kononnya tidak mendapat pembelaan nanti.

Undang-undang Islam ini adalah undang-undang yang telah diciptakan oleh Allah dan diperintahkan kepada kita umat manusia untuk melaksanakannya. Kalau Allah yang menciptanya, dah tentulah sempurna tanpa ada cacat cela dan boleh diaplikasikan kepada semua lapisan umat manusia. Kadang-kadang orang bukan Islam mereka menentang, sebab mereka masih “buta” lagi. Jadi tugas kita sebagai orang Islam untuk terus mendidik, menerang dan meyakinkan kepada mereka.
Tambahan pula, dalam kes-kes tertentu seperti tangkapan khalwat yang membabitkan orang Islam dan pasangan bukan Islam, hanya yang beragama Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah dan yang bukan Islam tidak akan didakwa.. Oleh hal yang demikian, cubaan pihak tertentu khususnya yang berniat kurang baik untuk merendahkan martabat Mahkamah Syariah adalah sesuatu yang kurang beradab dan kita sebagai orang Islam harus mempertahankan kredibiliti Mahkamah Syariah.
Kami berharap dengan keputusan penghakiman ini, pertikaian mengenai mahkamah mana yang harus mendengar kes-kes yang membabitkan orang Islam ( khususnya yang memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain) tidak akan muncul lagi dan kami juga berharap Undang-undang Islam akan terus subur di Malaysia bumi bertuah ini.

No comments:

Post a Comment

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....