Friday, June 25, 2010

Menangislah di sini sebelum menangis di sana...


Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.

Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.

Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid. Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."(al- Hasr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, justeru: Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Nabi Muhammad bersabda lagi:

"Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta. Nabi bersabda:

"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad bersabda:

"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair:

"Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda:

"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah telah berfirman :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."(AL BAQARAH: 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda:

"Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana,lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:

"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya:

"Kenapa engkau menangis?" "Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,"jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata:

"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Mas’ud r.a. berkata:

"Seorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah."

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur:

"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!!!.............

Jagalah Dirimu


"Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya, berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda menjadi mu'min yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan mematikan hati."

(diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari abu Hurairah)

Tujuannya :

Dalam hadis ini dibentang kepada kita beberapa garis panduan akhlak muslim yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan agar dapat satu bentuk hidup yang luhur, yang penuh kedamaian dan kesejahteraan.

1) Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan

Untuk mencapai darjat para muttaqin, siddiqin, a'bidin dan solihin, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, pendengaran, penglihatan dan tindakan.

Usaha bagi menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.

2) Relakan pengurniaan dari Allah

Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah membentuk sifat-sifat qanaah (berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya didunia.

3) Hubungan baik dengan jiran

Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga yang lain.

4) Cintakan orang lain

Islam adalah agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain sama dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang lain.

5) Jangan banyak ketawa

Ketawa pernah disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak ketawa. Barangsiapa banyak ketawa didunia dia akan menangis di akhirat dan barangsiapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat. Wallahua'alam


*Mari berCinta dengan Allah!

A beautiful story...

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abg nak beli kuih?"Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik...abg dah pesan makanan," jawab saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni,"kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya...

"Tak nak beli kuih saya bang..pak cik...kakak atau makcik". Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin,kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abg dah kenyang, tapi mungkin abg perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang,"katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu?Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata."RM25 saja bang.....!Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah??Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkn saya, siapa kita sebenarnya!!! ---

(dipetik dari damitri@kck.usm.my)

Wednesday, June 23, 2010

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ


Firman Allah di dalam Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 34, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain, Surah At-Tahrim ayat 6 pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka."

Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga. Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji. Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya. Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.

Maka para suami dan bakal suami sekalian, ana berharap agar anda semua dapat ambil pengajaran dalam firman Allah yang bermaksud
"Lelaki menjadi penjaga bagi kaum wanita" dan "Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka...". ana tidak sanggup melihat wanita atau isteri menjadi sebegini. Ana terkilan apabila melihat keadaan tersebut berlaku di sekeliling ana. siapakah wanita itu? biarlah ana simpan.

Tercipta wanita dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi

terang lagi bersuluh, kaum lelaki memainkan peranan sebagai ketua keluarga dalam memimpin ahli-ahli dalam keluarganya sendiri, kerana andalah ketua nakhoda dalam pelayaran menuju destinasi syurga abadi...ingatlah,
pimpinlah isteri dan bakal isteri anda. kerana kejayaan institusi rumahtangga itu adalah hasil tarbiyyah yang berkesan daripada suami yang BERTANGGUNGJAWAB!

Wallahua'alam.

Masyitah DIREBUS kerana CINTA


Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.


Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.


Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.


Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.


Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya, Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".


Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.


Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.


Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.


Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah.


Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?


*Mari berCinta dengan Allah! ^_^

Monday, June 21, 2010

Hikmah 5 Jari


Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima...

perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka.Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan.....

Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya.
Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini,alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran.Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf.Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil.Bersediakah anda??

Nah...naik kepada jari ketiga.
Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan.Alam dewasa kian menjengah.Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh.Namun,anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda.Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi.Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan.Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk.
Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat.Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini.Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan.Manusia yang berada di tahap usia ini,hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari.
Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan.Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara.Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar.Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman.Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes"sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???

Sunday, June 20, 2010

kalam buat W.A.N.I.T.A


Dijadikan indah pada pandangan manusia,
kecintaan kepada apa-apa yang diingini,
iaitu wanita-wanita.

wahai wanita,
tidakkah kau sedari,
wanita yang disayangi adalah pencinta Tuhannya,
wanita yang dirindui adalah,
wanita yang di mata dan di wajahnya,
terpancar sinar nur Ilahi dan lidahnya basah memuji Ilahi.

wahai wanita,
jangan dibangga dengan kecantikan luaranmu,
krn suatu hari nanti akan ia lapuk di telan zaman,
tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalamanmu,
agar diri bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi.

keayuan wanita bukan terletak pada kecantikannya,
kemanisan wanita bukan pada bicaranya,
dan daya penarik wanita bukan semata-mata pada kebijaksanaannya,
tetapi hati suci wanita hanya pada akhlaknya.

Namun wanita,
mengapa kau masih leka dengan perintahNya,
kau masih segan mengamalkan suruhanNya,
kau masih was- was dalam mematuhi ajaranNya.

Sedarlah dirimu diciptakan sebagai perhiasan,
peliharalah keayuanmu,
berhati -hatilah dengan tingkah lakumu,
tingkatkanlah akhlakmu.

andai tiada lagi cinta sang adam padamu,
cukuplah cinta keluargamu membahagiakanmu,
cukuplah cinta ibu bapa menceriakan hidupmu,
cukuplah cinta sahabat-sahabat yang menggembirakanmu,
cukuplah CINTA ALLAH menyinari jiwamu.

sering kau diibaratkan seperti bunga,
namun dirimu jua yang menentukan,
milik siapakah harum mekarmu diteguk,
sering kau dianggap sebagai cahaya yang menerangi setiap insan,
namun dirimulah yang menentukan,
adakah cahaya itu mampu memberi sinar,
dan mampu menyuluh iman,
agar tidak terus tenggelam dalam kegelapan.

namun wanita,
andai sinar itu kelam,
maka bahang itu akan mula menjadi bahan pembakar nafsu,
yang akhirnya membakar maruah dirimu sendiri.

oleh itu wanita,
kuncilah hatimu dari menerima ketukan,
insan-insan yang tidak mempunyai kunci hatimu yang sebenar,
yakinilah hanya insan yang benar-benar layak,
dan setanding dengan akhlak dan budi pekertimu,
akan hadir membuka pintu hatimu.

Maka raihlah Cinta Pemilik Cinta yang Maha Kaya,
kerana melalui cintaNya,
kau akan memiliki cinta hamba pilihan yang dicintaiNya.

Dan yakinilah,
dengan memiliki Cinta Allah,
pasti kau akan kenali,
hanya DIA Pencinta hamba-hambaNya yang hakiki,
kau teguhkan imanmu dengan keyakinan,
bahawa tiada yang mustahil dalam hidup ini…


*Mari bercinta dengan Allah! ^_^

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....