Showing posts with label Cerita dan Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerita dan Cerpen. Show all posts

Friday, April 15, 2011

jiwa halus milik-NYA


Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelah hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari dalam sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaannya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tetapi, dia tersungkur lagi.


Air jernih berjuraian menelusuri pipi dan dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf ‘Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaum hawa agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk tempoh-tempoh tertentu.


Walaupun pada hakikatnya, teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, dan memuji keagungan-Nya.


Mutmainnah akui itu semua tapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.


"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki tu kan? Jalan tak pandang perempuan pun.”

“Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu..Nanti orang ingat kamu sewel pula."

“Mutmainnah…ini...”
"Mutmainnah…itu.."


"Aku memohon ampun darimu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat keberapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.


Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.


Ayat 125 dari surah Al-An’aam dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya.


Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran. [Surah Al-An’aam]


Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Terasa dahaga dan lapar! Dengan rakus dia menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.


"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah berfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.


*************************


Dia teringat kembali buku yang pernah dibacanya suatu ketika dulu yang bertajuk; 'Personaliti Wanita Yang Disayangi Allah & Rasul’. Buku itulah yang menjadi hadiah hari lahirnya yang ke-22 oleh kakaknya, Mardhiyah.


Wanita itu banyaknya nafsu 90 peratus manakala akalnya 10 peratus sahaja. Tetapi berbeda bagi sang laki-laki, 90 peratus itu akalnya, tetapi nafsunya 10 peratus sahaja.


Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [Surah An-Nisaa’: 32]


Maka beruntunglah bagi si wanita kerana telah dianugerahkan sang laki-laki sebagai pemimpinnya, kerana sang laki-laki itu banyak akalnya yang mampu mendidik dan menunduk nafsu si wanita tersebut.


"Eh..betul ke wanita ada banyak nafsu. Aku tengok zaman sekarang lelaki yang berlebihan nafsunya dari wanita." Desas hati kecilnya ketika itu.


***************************


Lantas, malam khamis 3 minggu lalu yang menjadi kebiasaan untuk Mutmainnah dan akhawat lain untuk menerima tarbiah dari naqibah mereka tidak dipersia-siakannya.


"Kak Aishah, kenapa Allah bagi kaum kita ni banyak nafsu?"


"Oh..kaya la kita ada banyak nafsu..hehe." Kak Aishah cuba berseloroh memulakan muqaddimah.


"Ala akak ni...takkan nak bergelar jutawan nafsu pulak, mentang-mentang baru balik Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan minggu lepas ye..." Mutmainnah sengaja menyakat naqibahnya itu kembali.


Seronok. Antara mereka tiada jurang. Walaupun bergelar seorang naqibah yang sudah berkahwin dan berkerjaya pula sebagai seorang jurutera, Kak Aishah tidak pernah meletakkan jurang yang tinggi antara dia dan mad'unya. Uslub tarbiyah yang menarik barangkali.


"Begini Ina, sebenarnya dalam dunia ni, nafsu ada 7 peringkat, dan bukan semua nafsu yang Allah cipta itu tak elok." Kak Aishah menarik nafas panjang.


"Nafsu pertama ialah Ammarah iaitu bagi mereka yang sentiasa menghampiri maksiat, terlalu gembira bila mendapat nikmat, dan terus berputus asa bila diuji. Mereka tak sedih dan tak akan menyesal jika berada di dalam maksiat dan kejahatan."


"Contohnya kak?"


"Contohnya? Emm, macam ni... Seorang wanita yang mengaku sebagai seorang yang beragama Islam tetapi bangga apabila tidak menutup aurat. Dia tahu hukum menutup aurat itu wajib tetapi tidak pernah berasa berdosa bila tidak memakai tudung atau apabila memakai pakaian jarang..."


"Yang kedua, nafsu Lawwamah iaitu bagi mereka yang kadang-kadang terjebak dengan dosa tetapi sering menyesal dengan perbuatannya itu. Dia sentiasa berusaha untuk berubah tapi kadang-kadang tidak dapat mengelak godaan syaitan. Kadang-kadang, manusia bernafsu Lawwamah ni akan terdetik di dalam hati mereka untuk berasa riya’ bila melakukan sesuatu kebaikan."


"Kak, macam mana nak elak nafsu Lawwamah ni ye?"


"Mujahadatunnafs! Jihad melawan nafsu. Sebenarnya, nafsu jahat dan iman sering berlumba-lumba untuk memenangi kita. Kita manusia, siap berakal lagi! Maka, pergunakanlah akal pemberian Allah ini dengan cara yang paling waras."


"Thanks kak…ok, sila sambung lagi. Hehe..."


"Ye baik cik adik. Nafsu ketiga ialah Mulhimah. Peringkat ini boleh dicapai bila manusia tu dapat melawan nafsu Lawwamahnya dengan bersungguh-sungguh untuk menyucikan hati. Biasanya, mereka ini memiliki sifat takut, syukur dan bertawakkal kepada Allah yang sebenar-benar, bukan hanya enak melafazkan kalimah syukur dan tawakkal di mulut sahaja. Taubat mereka pun merupakan sebenar-benar taubat. Bukan on off macam tu je."


Martabat seterusnya ialah nafsu Mutmainnah iaitu peringkat nafsu yang pertama yang diredhai Allah swt dan layak memasuki syurga-Nya."


Kak Aishah berhenti seketika untuk mengambil nafas barangkali, fikir Mutmainnah yang masih tersengih-sengih tatkala namanya disebut sebagai salah satu peringkat nafsu yang layak ke syurga.


"Orang yang memiliki nafsu Mutmainnah ni memiliki sifat pemurah yang amat sangat. Wang di tangan mereka tak pernah lekat kerana kerapnya bersedekah. Mereka juga kuat beribadah dan memiliki taqwa yang sebenar iaitu takut dan harap."


***************************


Oh...sesungguhnya nama tak dapat mewarisi peringkat nafsu! Mutmainnah hanya mampu mendengus di dalam hati. Dia masih ingat lagi kisah 'Takut & Harap Saidina Umar' yang mana bila ditanyakan oleh Rasulullah SAW.


"Hai Umar, apa yang kamu maksudkan dengan taqwa?"


Jawab Umar; "takut & harap, iaitu aku takut jika semua manusia layak ke syurga kecuali aku dan andaikata jika seorang saja manusia yang layak ke syurga, aku berharap itulah aku."


"Ok..nak sambung lagi ke?" Kak Aishah memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sebentar tadi.


"Nak, nak..." Nusaibah, sahabat mereka dari Baling, Kedah cepat-cepat menjawab. Fuh, bersemangat.


"Seterusnya ialah nafsu Radhiah. Mereka yang berjaya sampai ke peringkat nafsu ini mempunyai hubungan dengan Allah yang dekat. Mereka mengenali zat-zat Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya. Yang paling hebat, mereka tidak pernah takut akan bala dan tidak tahu gembira pada nikmat, yang mereka kenali ialah keampunan dan redha Allah sahaja."


"Oh...ini macam tahap wali-wali Allah la ni ye kak?"


"Yup..selain itu wali-wali Allah ini dianugerahkan dengan kelebihan memiliki firasat yang tinggi.” Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya; Takutilah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan nur(petunjuk) Allah SWT. [Riwayat At-Tarmizi]


"Oh...macam tu rupanya." sampuk Anisa, teman sehalaqah mereka juga.


"Ok..akak sambung sikit lagi ye. Dua saja lagi, akak cuba ringkaskan. Yang keenam ialah nafsu Mardhiyah, iaitu orang yang memiliki peringkat nafsu ini mempunyai hati dan jiwa yang benar-benar sebati dengan Allah SWT dan yang paling best, setiap perbuatan mereka pasti telah diredhai Allah. Best kan?"


"Ha'ah...seronoknya kalau setiap amal kita confirm and confidence je Allah redha."


"Conclusion, buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang! Seronok je akak cakap macam ni kan? Payah nak buat tu dik, payah! Sebab tu la, kita diberi peluang untuk istighfar. Leka dan terus memohon ampun. It is the best formula!"


"Dan yang last ialah nafsu Kamilah, peringkat yang hanya mampu diperoleh oleh para rasul, para nabi dan wali Allah. Betapa hebatnya mereka, setiap detik amal di dalam kehidupan mereka hanya Allah tujuannya. Tiada dunia dan segala isinya. Subhanallah!"


"Fuh..semput akak nak habiskan semua peringkat nafsu tu. Ok, semua dapat dan faham?"


"Dapat kak..." jawab mereka serentak.


"Ha..good girls! Sekarang, akak nak korang semua nilai balik nafsu korang semua kat peringkat mana. Muhasabah itu mesti! Ingat, penciptaan nafsu oleh Allah SWT itu cantik. Ada nafsu yang baik dan jahat. So, tak boleh nak pertikaikan lagi kenapa wanita tu ada banyak nafsu sebab kalau dia pandai menundukkan nafsunya, insyaAllah akal dan nafsu tu akan berjalan seiring."


Lagi satu, walaupun nafsu yang baik tu macam payah je kita nak dapat, tapi kita tak boleh putus asa. Contohnya, kalau Ina nak dapatkan peringkat nafsu Mutmainnah tu, kena jihad lebih la ye sayang..."


“Err...hehe. InsyaAllah kak!” Tersengih-sengih Mutmainnah. Macam tahu-tahu je aku tengah terfikir tentang tahap nafsu tu.


Kata-kata itu masih terngiang-ngiang sampai malam ini. Ya, mungkin aku terlalu mengikut nafsu yang kurang baik menyebabkan aku terjebak untuk melakukan dosa-dosa kepada Allah. Mungkin bagi mereka di luar sana, khilaf yang dilakukannya itu sekadar dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan Allah bila-bila masa. Tetapi tidak bagi Mutmainnah, selagi mana tindakannya itu bakal menghantar kakinya untuk selangkah ke neraka, dia tidak tega untuk terus berasa bersalah!


Alhamdulillah, jiwa aku makin damai sekarang. Aku tahu Allah sayang pada aku. Moga hijrah aku kali ini lebih bererti. Aku yakin dengan izin Allah! Mutmainnah sudah mampu tersenyum. Malam 10 Muharam 1432 hijrah ini amat bermakna baginya. Dia telah menemui erti hijrah yang sebenar-benarnya. Esok, hari assyura. InsyaAllah, dia akan berpuasa sebagaimana disunatkan berpuasa.


Sabda Rasulullah SAW:
Puasa 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu. [Riwayat Imam Muslim]


Moga Allah terima taubat hamba-hamba yang suka meminta-minta tapi tidak pernah lupa untuk bersyukur pada-Nya!


- Artikel iluvislam.com

Sunday, January 16, 2011

Air Mata Keinsafan


Seusai Solat Maghrib berjemaah, Iman terus mencapai Al-Quran dan Terjemahan hadiah dari seorang temannya. Lafaz kesyukuran diungkap perlahan kerana masih ada insan-insan yang sudi berhimpun untuk mengabdikan diri padaNya. Sue, Rina, dan Yasmin antara insan yang setia berhalaqah di tengah-tengah ruang 'bilik study' itu sambil menunggu kedatangannya untuk memulakan sessi tazkirah.


" Hari ni akak bacakan tafsir surah Al-Syarh ye. "


" Ha...cuba Sue perhatikan ayat 5 dan 6. Kenapa Allah SWT ulang ayat sesungguhnya setiap kesusahan ada kesenangan sebanyak dua kali? "


" Hurm..kenapa ye akak? Sue tak pasti la. "


" Cuba gabungkan dua ayat tadi. Sebenarnya di sebalik ayat itu, nak jelaskan kat kita bahawa setiap kesusahan ada kesenangan dan setiap kesenangan pasti diuji dengan kesusahan. "


" Owh..faham..faham. Maknanya kita tak boleh mengeluh la bila ditimpa kesusahan.. Iye Kak Iman? "


" Ha'ah Min, dan kita juga tak boleh terlalu gembira dengan kesenangan sebab di celah-celah kesenangan, ada kesusahan yang menanti . "


Iman meneruskan penerangan tentang ayat-ayat di dalam surah itu.


***


Selepas sesi tazkirah.


" Kak Iman, malam ni betul ke Madam Suzila nak buat sport check? "


" Ha'ah..insya Allah. Akak dengar-dengar macam tu la. "


" Nasib baik kita tergolong dalam golongan sami'na wa ato'na kan kak? Tak payah susah-susah. "


" Betul tu Sue, tak payah susah payah kita nak sembunyikan barang terlarang. "


Tergelak kecil Iman mendengar istilah yang selalu mereka gunakan untuk golongan yang selalu mengikut peraturan itu.


Sami'na wa ato'na atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kami mendengar dan kami mengikut.


" Malam ni tentu ramai la Sister yang macam cacing kepanasan kan. "


" Ada-ada je Rina ni kan. Biar lah diorang dengan cara diorang. Semua dah besar, boleh fikir mana yang baik, mana yang buruk. Eh, dah azan Isya' tu. Jom solat! "


***


Di dalam bilik.


" Aish..pelik semacam je si Fiqa ni. Tak pernah aku tengok dia macam ni. "


Iman bermonolog sendiri tatkala melihat Afiqa, ahli biliknya yang tekun mengaji sewaktu dia masuk ke dalam bilik untuk menyimpan telekung sembahyang.


" Hurm..Husnuzon. Mungkin dia dah dapat hidayah Allah SWT. Alhamdulillah. Patutnya aku bersyukur, bukannya fikir bukan-bukan." Iman menyalahkan dirinya.


" Woi Fiqa.. lama mana lagi ko nak berlakon tu..? Aku tengok dari tadi kau asyik pegang je Al-Quran tu. Bukannya nak baca pun! " Zira di atas katil menegur.


" Eh, kau diam sikit boleh tak. Kalau Kak Iman dengar, habislah aku. Aku tengah sabar la ni. Madam belum datang lagi. Macam mana aku nak berhenti berlakon ? "


" Hahaha..padan muka ko. Tu la, ambil lagi risiko. "


***


5 minit selepas itu.


" Assalamualaikum. Boleh Madam masuk?


" Waalaikumussalam. Eh, Madam..masuk la. "


Lantas Iman, Rina, Yasmin, Sue dan Zira mendapatkan Madam untuk menyalami beliau sebagai tanda hormat.


" Bagus ye bilik ni, bersih je. Boleh Madam nak buat checking? "


" Boleh madam, silakan. "


Rina selaku Mushrifah bertindak mengiringi Madam suzila.


" Awak nama apa? Boleh tanggalkan telekung tak? "


" Er..er...er...kejap ye Madam. "


Muka Fiqa mula berubah. Dia tidak menyangka taktiknya tidak berjaya.


" Sis Afiqa..sini kejap. Boleh Madam bincang dengan kamu? "


Yasmin dan Sue tersengih-sengih melihat Fiqa kantoi di tangan Madam.


" Masya Allah. Patutla aku tengok dia khusyuk sangat baca Al-Quran sambil pakai telekung sembahyang. Nak sembunyikan rambut karat dia dari Madam rupanya. " Iman mengeleng kepala.


Hatinya sedih sekali. Dia rasa terpukul dengan pebuatan Afiqa tadi. Seolah-olah menghina kemuliaan Al-Quran dan solat. Sebelum ini, sudah beberapa kali dia cuba menasihati Afiqa atas perbuatannya itu tetapi nasihatnya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Hati Afiqa mungkin masih keras untuk menerima nasihat orang ataupun egonya diletakkan ditahap yang paling tinggi.


Iman merasakan dia masih kekurangan cara untuk menjadi seorang Da'ie. Tetapi melihatkan perbuatan Afiqa tadi hatinya tercalar. Bukan kerana kepentingan diri sendiri tapi dia terguris dengan perbuatan Fiqa yang menggunakan kesuciaan Al-Quran dan memakai telekung untuk menutup kesalahannya itu daripada pandangan mata seorang manusia biasa.


Dari jauh, dilihat Fiqa sedang menangis. Mereka tidak mahu mendengar butir bicara antara Fiqa dan Madam Suzila. Kemudian Madam keluar daripada bilik mereka. Iman menggunakan saat itu untuk membimbing teman sebiliknya itu.


" Fiqa, boleh akak duduk sini? " Iman cuba menyapa lembut.


Fiqa hanya mampu mengangguk sambil menyapu kesan air mata yang membasahi pipinya itu.


" Boleh akak tau kenapa Fiqa warnakan rambut? Sebenarnyakan, sejujurnya akak cakap, akak nampak Fiqa lagi cantik dalam keadaan natural. "


" Fiqa terpengaruh kak. Kawan-kawan Fiqa kat luar semua macam ni. Keluarga Fiqa sendiri pun macam ni jugak. Macam mana Fiqa nak jadi baik. "


Afiqa menjawab perlahan tetapi Iman dapat merasakan nada penyesalan yang lahir dari sekeping hati yang suci milik Nurul Afiqa itu.


" Ok..akak faham keadaan Fiqa. Sebenarnyakan Fiqa, Fiqa kena bersyukur datang sini tau. Kalau Fiqa tak ditegur hari ni mungkin Fiqa masih lagi khayal dengan dunia luar yang penuh pancaroba tu. "


" Terima kasih kak. Tak tahu kenapa sekarang Fiqa rasa tenang sangat. Fiqa tau, Fiqa dah buat salah dan memang Fiqa menyesal sangat-sangat dengan perbuatan-perbuatan Fiqa dulu. Minta maaf ye Kak Iman sebab Fiqa tak pernah dengar teguran akak dan Kak Rina selama ni. "


" Takpe. Setiap yang Allah SWT tetapkan ke atas kita pasti ada hikmah. Yang penting, setiap penyesalan kita mesti diikuti dengan perbuatan kita yang baik, berazam dan berubah. Itu yang paling utama. "


" Insya Allah Kak Iman. Akak, tolong Fiqa ye. " Afiqa mula melakarkan senyuman.


" Boleh..boleh.. Insyaallah. Akak akan tolong sedaya mampu. Lagi satu, Fiqa kena ingat. Selagi kita tak lupakan Allah SWT insyaallah, Dia takkan lupakan kita. Semakin kita ditimpa ujian yang kadang-kadang membuatkan kita terduduk kaku,hati merintih hiba, itu tandanya kasih sayang Dia semakin kuat untuk kita. Lagipun Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak akan membebani hambaNya melainkan apa yang termampu dipikul oleh hambaNya itu. "


" Terima kasih sangat-sangat Kak Iman sebab masih tolong Fiqa walaupun Fiqa dah buat macam-macam dalam bilik ni. "


Lantas dipeluknya Iman dengan erat. Setulus ikatan seorang muslim terhadap saudaranya.


***


5.45 am. Iman masih lagi berteleku disamping Al-Quran kesayanganya itu. Dia menunggu kedatangan ahli biliknya yang lain untuk mengimarahkan lagi suasana bilik mereka.


Derap langkah di belakangnya itu semakin hampir. Yasmin barangkali. Fikir Iman di dalam hatinya.


Dia duduk menyebelahi Iman selepas sejadah dihampar halus.


" Akak, nak solat sekali boleh? " Sapa Fiqa.


Terkejut Iman melihat kehadiran Fiqa disisinya.


" Eh..apa pulak tak bolehnya. Kita tunggu yang lain-lain sekejap ye. "


Afiqa mengangguk sambil tersenyum. Hati Iman berbunga ceria.


" Ya Allah, mudahnya Kau bukakan hatinya. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMu ini. Tetapkan hati-hati kami di atas jalan yang lurus ini. Janganlah Kau pesongkan hati-hati suci ini sesudah hidayahMu mengunjungi. Amin. "


Hati kecil Iman tersenyum lagi.

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?


Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost that your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go
Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah...


Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu InshaAllah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh kerana lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu,aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit.Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku. ”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...


Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?


Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat subuhku ‘gajah’ lagi.Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi.Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.


Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat.Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.


Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.


Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.


Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku padaNya masih berbaki.


Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah,mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.


Dalam hadis Nabi SAW disebutkan:


Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.


Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah SWT. Air panas yang terkena ditanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.


”Nauzubillah min zalik”, ucapku dalam hati.


Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat subuhku.Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah,lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.


Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa,bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.


Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.


Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah,Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan. Tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.


Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaranNya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:


”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”.


Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?


Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga.Ya Allah,orang yang melaksanakan solat, tiang agamaMu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini.


Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad,perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.


Allahuakbar,allahuakbar....


Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...


- Artikel iluvislam.com

Wednesday, July 7, 2010

Ali dan Nisa


Matahari telah tergelincir. Seorang lelaki dilihat bersegera menuju ke masjid ketika azan zuhur berkumandang dari sebuah masjid kampus. Lelaki itu berwudhu dan menunaikan solat nawafil. Lalu ia menjadi makmum di saf paling hadapan. Solat wajib ia laksanakan dengan ruku’ dan sujud yang sempurna. Setelah solat tak lupa ia memuji nama Tuhannya dan memanjatkan doa untuk dirinya, ibu, ayahnya dan untuk ummat Muhammad saw yang sedang berjihad fii sabilillah.

Sebelum menuju kelas untuk kuliah, lelaki itu sempat bersalam-salaman dengan beberapa jamaah lain. Dengan raut wajah yang bersahaja, ia sedekahkan senyuman terhadap semua orang yang ditemuinya. Ucapan salam pun ditujukannya kepada para akhwat yang ditemuinya di depan masjid. Lelaki yang bernama Ali itu kemudian segera memasuki ruang kelasnya. Ia duduk di bangkunya dan mengeluarkan buku berjudul “Langit pun Tergoncang’. Buku berkisar tentang hari akhirat itu dibacanya dengan tekun. Sesekali ia mengerutkan dahi dan dan sesekali ia tersenyum simpul. Ali sangat suka membaca dan meyukai ilmu Allah yang berhubungan dengan hari akhir kerana dengan demikian ia dapat membangkitkan rasa cinta akan kampung akhirat dan tidak terlalu cinta pada dunia. Prinsipnya adalah “Bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beribadah untuk akhirat seakan mati esok.”

Sejak setahun belakangan ini, Ali selalu berusaha mencintai akhirat. Sunnah Rasululah saw ia gigit kuat dengan gigi gerahamnya agar tak terjerumus kepada bid’ah. Ali selalu menyibukkan diri dengan segala Islam. Ia sangat membenci sekularisme kerana menurutnya, sekularisme itu tidak masuk akal. Bukankah ummat Islam mengetahui bahwa yang menciptakan adalah Allah swt, lalu mengapa mengganti hukum Tuhannya dengan hukum ciptaan dan pandangan manusia? Bukankah yang menciptakan lebih mengetahui keadaan fitrah ciptaannya? Allah swt yang menciptakan, maka sudah tentu segala sesuatunya tak dapat dipisahkan dari hukum Allah. Katakan yang halal itu halal dan yang haram itu haram, kerana pengetahuan yang demikian datangnya dari sisi Allah.

Sementara Ali membaca bukunya dengan tekun, dua mahasiswi yang duduk tak jauh dari Ali bercakap-cakap membicarakan Ali. Mereka menyukai sekali, Ali yang amat tampan dan juga pintar, namun belum mempunyai kekasih, padahal banyak mahasiwi cantik di kampus ini yang suka padanya. Tapi tampaknya Ali tidak ambil peduli. Sikapnya itu membuat para wanita menjadi penasaran dan justru banyak yang ber-tabarruj di hadapannya. Kedua wanita itu terus bercakap-cakap hingga lupa bahwa mereka telah sampai kepada tahap ghibah.

Ali memang tak mahu ambil tahu tentang urusan wanita kerana ia yakin jodoh di tangan Allah swt. Namun tampaknya iman Ali kali ini benar-benar diuji oleh Allah SWT. Ali menutup bukunya ketika pensyarah telah masuk kelas. Tampaknya sang pensyarah tak sendirian, di belakangnya ada seorang mahasiswi yang kelihatan malu-malu memasuki ruang kelas dan segera duduk di sebelah Ali. Ali merasa belum pernah melihat gadis ini sebelumnya.

Saat pensyarah mengabsen satu persatu, tahulah Ali bahwa gadis itu bernama Nisa. Tanpa sengaja Ali memandang Nisa. Jantungnya berdegup keras. Bukan lantaran suka, tapi kerana Ali selalu menundukkan pandangan pada semua wanita, sesuai perintah Allah SWT dalam Al Qur’an dan Rasulullah saw dalam hadits. “Astaghfirullah… !”, Ali beristighfar. Pandangan pertama adalah anugerah atau lampu hijau. Pandangan kedua adalah lampu kuning. Ketiga adalah lampu merah. Ali sangat khawatir bila dari mata turun ke hati kerana pandangan mata adalah panah-panah iblis.

Pada pertemuan kuliah selanjutnya, Nisa yang sering duduk di sebelah Ali, kian merasa aneh kerana Ali tak pernah menatapnya kala berbicara. Ia lalu menanyakan hal itu kepada Utsman, teman dekat Ali. Mendengar penjelasan Utsman, tumbuh rasa kagum Nisa pada Ali. “Aku akan tundukkan pandangan seperti Ali”, tekad Nisa dalam hati.

Hari demi hari Nisa mendekati Ali. Ia banyak bertanya tentang ilmu agama kepada Ali. Kerana menganggap Nisa adalah ladang da’wah yang potensial, Ali menanggapi dengan senang hati. Hari berlalu… tanpa sengaja Ali memandang Nisa. Ada bisikan yang berkata, “Sudahlah pandang saja, lagipun Nisa itu tidak terlau cantik.. Jadi mana mungkin kamu jatuh hati pada gadis seperti itu” Namun bisikan yang lain muncul, “Tundukkan pandanganmu. Ingat Allah! Cantik atau tidak, dia tetaplah wanita.” Ali gundah.

“Kurasa, jika memandang Nisa, tak akan membangkitkan syahwat, jadi mana mungkin mata, pikiran dan hatiku ini berzina.” Sejak itu, Ali terus menjawab pertanyaan-pertanyaan Nisa tentang agama, tanpa ghadhul bashar kerana Ali menganggap Nisa sudah seperti adik… , hanya adik. Ali dan Nisa kian dekat. Banyak hal yang mereka diskusikan. Masalah ummat maupun masalah agama. Bahkan terlalu dekat… Hampir setiap hari, Ali dapat dengan bebas memandang Nisa.

Hari demi hari, minggu demi minggu, tanpa disadarinya, ia hanya memandang satu wanita, NISA! Kala Nisa tak ada, terasa ada yang hilang. Tak ada teman diskusi agama…, tak ada teman berbicara dengan tawa yang renyah.., tak ada…wanita. Lub DUBB!!! Jantung Ali berdebar keras, bukan kerana takut melanggar perintah Allah, namun kerana ada yang berdesir di dalam hati…kerana ia… mencintai Nisa. Bisikan-bisikan itu datang kembali…

“Jangan biarkan perasaan ini tumbuh berkembang. Cegahlah semampumu! Jangan sampai kamu terjerumus zina hati…! Cintamu bukan kerana Allah, tapi kerana syahwat semata.” bisikan lain berkata, “Cinta ini indah bukan? Memang indah! Sayang sekali jika masa muda dilewatkan dengan ibadah saja. Bila lagi kamu dapat melewati masa kampus dengan manis. Lagi pula jika kamu berpacaran kan secara sihat, secara Islami..

“Manalah ada pacaran Islami, bahkan hatimu akan berzina dengan hubungan itu. Matamu juga berzina kerana memandangnya dengan syahwat. Hubungan yang halal hanyalah pernikahan. Selain itu tidak!!! Bukankah salah satu tujuan pernikahan adalah untuk mengubur zina?”, bisikan yang pertama terdengar lagi. Terdengar lagi bisikan yang lain, “Terlalu banyak aturan! Begini zina, begitu zina. Jika langsung menikah, bagaimana jika tidak sesuai? Bukankah harus ada beramah-mesra dulu agar saling mengenal! Apatah lagi kamu baru kuliah tahun pertama. Nikah susah!”

Terdengar bantahan, “Benci kerana Allah, cinta kerana Allah. Jika pernikahanmu kerana Allah, Insya Allah, Dia akan redha padamu, dan akan tenteram keluargamu. Percayalah pada Tuhan penciptamu! Allah telah tentukan jodohmu. Contohlah Rasululah SAW, hubungan beliau dengan wanita hanya pernikahan.” Bisikan lain berkata. “Bla.., bla.., Ali,… masa muda.., masa muda…, jangan sampai disia-siakan, rugi!” Ali berfikir keras. Kali ini imannya benar-benar dilanda godaan hebat. Syaitan telah berhasil memujuknya dengan perangkapnya yang selalu berjaya sepanjang zaman, iaitu wanita.

Ali mengangkat gagang telefon. Jari- jarinya bergetar menekan nomor telepon Nisa. “Aah.., aku tidak berani.” Ali menutup telefon. Bisikan itu datang lagi, “Menyatakannya, lewat surat saja, supaya romantis…!” “Aha! Benar! “ Ali mengambil selembar kertas dan menuliskan isi hatinya. Ia bercadang akan memberikan kepada teman rapat Nisa. Jantung Ali berdebar ketika dari kejauhan ia melihat Nisa terlihat menerima surat dari temannya dan membaca surat itu.

Esoknya, Utsman mengantarkan surat balasan dari Nisa untuk Ali, lalu Utsman berkata, “Nisa hari ini sudah pakai jilbab, dia jadi cantik lah. Sudah jadi akhawwat!” Ali terkejut mendengarnya, namun rasa penasarannya membuatnya lebih memilih untuk membaca surat itu terlebih dahulu daripada merenungi ucapan Ustman tadi. Ali membaca surat itu dengan sungguh-sungguh. Ia benar-benar tak menyangka akan penolakan yang bersahaja namun cukup membuatnya merasa ditampar keras.

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (QS. An Nuur : 30)

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”(QS. Al Mu’minuun : 19).

Ali menghela nafas panjang… Astaghfirullah… Astaghfirullah… Hanya ucapan istighfar yang keluar dari bibirnya. Pandangan khianatku sungguh terlarang. Memandang wanita yang bukan muhrim. Ya Allah… kami dengar dan kami taat. Astaghfirullah…

Sunday, June 27, 2010

Surat Cinta Isteri Solehah


"Abang minta izin untuk nikah seorang lagi,"

Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Aysraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.

Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Pengabisannya dia kembali kepada suaminya. Asyraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asyraf, dengan gaji kau. Aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asyraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang, Aliyah setuju dengan permintaan abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.

Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.

Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak. Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asyraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. abang dah lama hidup dengannya. abang faham,"

Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.

Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca AlQuran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya.

Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tahmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asyraf Mukmin yang dulu. Asyraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asyraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

bret bret... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik untuk abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama abang," Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
****************************************************************************************

Kepada:

Asyraf Mukmin,
Suami yang tersayang...

Asryaf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani,

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi,

Genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, ia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tak sanggup abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana, apatah lagi abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tahu selera abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. kasihan nanti, tak makan lah pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak abang nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan abang...

abang yang disayangi,

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. abang lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

abang yang dicintai,

Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina.

Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di sawarak. Menunggu abang...Aliyah sayangkan abang...


Tetapi jika abang merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan abang. Tetapi, jika abang merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk abang..

tolonglah bukakan pintu bilik ni.
Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai..air tangan Aliyah.


Salam sayang,

Aliyah Najihah binti Mohd Hazery

*****************************************************************************************
Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum! Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!!! !!

Friday, June 25, 2010

A beautiful story...

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abg nak beli kuih?"Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik...abg dah pesan makanan," jawab saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni,"kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya...

"Tak nak beli kuih saya bang..pak cik...kakak atau makcik". Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin,kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abg dah kenyang, tapi mungkin abg perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang,"katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu?Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata."RM25 saja bang.....!Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah??Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkn saya, siapa kita sebenarnya!!! ---

(dipetik dari damitri@kck.usm.my)

I'm back!

Bismillahirrahmanirrahim. I am so sorry for my 'silence' in this blog. I was fully occupied with commitments & family matters....